BELANJAWAN 2024 > BERITA

Lori Tangki Muatan Minyak Sawit Terbakar Di Lebuh Raya ELITE

12/10/2024 09:13 PM

NILAI ,12 Okt (Bernama) -- Sebuah lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit terbakar sebelum memasuki laluan bertentangan hingga menjejaskan tiga kenderaan lain di KM44.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah Utara di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan pada 12 tengah hari itu berlaku apabila lori tangki dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 53 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Beliau berkata disebabkan itu, lori tangki yang dalam perjalanan dari Jasin, Melaka ke Klang, Selangor telah terlanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang dipandu di lorong kanan dan menyebabkan kereta itu berpusing serta melintang di tengah lebuh raya.

"Selepas itu, lori tangki itu melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan sehingga memasuki laluan arah bertentangan dan berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan terbakar.

"Kemalangan menyebabkan serpihan kenderaan berterabur di atas lebuh raya dan menyebabkan dua lagi kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Bezza dan Mazda CX3 yang dari arah bertentangan terlanggar serpihan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu Proton Saga iaitu wanita berumur 21 tahun cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban manakala kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular video berdurasi 20 saat menerusi media sosial memaparkan sebuah lori tangki minyak terbabas memasuki laluan bertentangan di lebuh raya dan terbakar, yang turut membabitkan tiga kenderaan lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan