BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pesta Air Kuala Kangsar Kembali Selepas 15 Tahun

14/10/2024 06:22 PM

IPOH, 14 Okt (Bernama) -- Selepas kali terakhir dianjurkan pada 2009, Pesta Air Kuala Kangsar 2024 yang merupakan acara tradisi daerah ini kembali dalam suasana lebih meriah sekali gus bakal merancakkan lagi Tahun Melawat Perak (TMP) 2024. 

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk temasya itu berkata ia akan berlangsung dua hari bermula 26 hingga 27 Oktober ini di Dataran Lembah Sungai Perak, Kuala Kangsar. 

Beliau berkata program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (Gemuda) itu dijangka bakal menarik lebih 50,000 pengunjung. 

"Kali terakhir kita anjurkan adalah pada 2009, sudah 15 tahun berlalu dan kini ia kembali khususnya untuk masyarakat Kuala Kangsar dan Perak amnya termasuk dari negeri luar bagi menghidupkan kembali tradisi lama. 

"Penganjuran temasya ini juga bersempena sambutan ulang tahun keputeraan Baginda pada November depan termasuk meraikan ulang tahun ke-10 pemerintahan Baginda yang menaiki takhta pada 2014," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Mohd Zahidi berkata pihaknya memberi jaminan keselamatan peserta yang bertanding pada temasya itu, malah sentiasa peka tentang aspek keseluruhan semua pihak. 

"Kita ada pasukan teknikal yang akan melakukan pemeriksaan setiap masa sebelum bermulanya temasya bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah. 

"Pihak penganjur juga turut mengambil maklum keadaan cuaca khususnya peralihan perubahan monsun ketika ini, namun kita harapkan cuaca akan baik ketika temasya berlangsung selain berdoa agar paras air sungai berada pada tahap selamat," katanya. 

Beliau berkata pihaknya yakin dan percaya bahawa penganjuran pesta air ini merupakan salah satu medium untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat, khususnya menarik minat generasi muda di samping memberikan kesedaran tentang kepentingan mengekalkan nilai warisan diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur selain turut mendapat penyertaan daripada peserta luar negara. 

Antara pengisian pesta air ialah pertandingan lumba perahu naga, kayak, ski jet, bot berhias dan pertunjukan flyboard, jetsurf dan lift efoils board bagi aktiviti air. 

Turut diadakan ialah pertandingan congkak, batu seremban, gubahan buah-buahan, mewarna, pertandingan zumba selain pertandingan bola sepak jalanan, bola jaring, tiang licin dan pukul bantal. 

Tidak ketinggalan pertandingan melibatkan anak muda seperti tarian, e-sukan, kaligrafi Cina, kolum, pakaian etnik dan busana termasuk kereta kawalan jauh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan