BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tun Juhar Bantu Tunai Mpian Dua Pelajar UMS Kurang Mampu

15/10/2024 01:11 AM

KOTA KINABALU, 14 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin membantu menunaikan impian dua pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kurang mampu bagi memulakan pengajian di universiti itu.

Crisnanalina Jumis dan Nor Fasha Natashya Abdul Rahim menerima bantuan pendaftaran pengajian berserta komputer riba disampaikan Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir di universiti itu hari ini pada majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Mansor .

Crisnanalina, 20, pelajar berasal dari daerah pedalaman Paitan berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tun Juhar, masyarakat dan pihak terlibat dalam membantu beliau untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhutanan.

“Pada mulanya saya ingin menolak tawaran pengajian dan terus menyambung kerja sambilan di sebuah restoran, namun saya dimaklumkan oleh ibu saudara yang ada pihak ingin membantu jadi saya rasa amat bersyukur dan tidak akan mensia-siakan peluang ini,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian itu.

Beliau berkata bantuan yang diperolehi sangat membantu dalam urusan kemasukan ke universiti memandangkan pendapatan ibu bapa beliau yang bekerja sebagai petani dan suri rumah tidak mampu untuk menampung kos pengajian tersebut.

Nor Fasha Natashya, 20, berkata beliau juga hampir menolak tawaran pengajian berikutan kekangan kewangan yang dihadapi oleh keluarga namun berasa amat bersyukur apabila mendapat tahu urusan kemasukan beliau ke universiti akan dibantu.

“Saya anak keempat daripada lapan orang adik beradik, bapa saya telah meninggal dunia dan ibu saya tidak bekerja, kami sekeluarga hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan,” katanya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan.

Justeru dengan bantuan yang diperolehi, Nor Fasha bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan berusaha untuk mengejar cita-cita menjadi seorang doktor perubatan sekali gus memegang teguh harapan keluarga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan