BELANJAWAN 2025 > BERITA

NUJ, Geramm Ucap Takziah Atas Pemergian Petugas Astro Awani

14/10/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menzahirkan dukacita atas pemergian Editor Video Astro AWANI Ahmad Hafiz Azhar Nordin yang meninggal dunia pagi ini akibat kemalangan jalan raya.

Menerusi kenyataan bersama, NUJ dan GERAMM menyifatkan Allahyarham yang lebih mesra disapa Randy, meninggalkan kenangan sebagai seorang yang dedikasi dan komited dalam tugasnya.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham, sahabat, dan seluruh warga Astro AWANI. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook hari ini.

Dalam kejadian 7.46 pagi tadi, Ahmad Hafiz Azhar yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja terbabas di Kilometer 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan berkata Ahmad Hafiz Azhar, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera di kepala.

Kejadian katanya dipercayai berlaku disebabkan jalan yang licin semasa hujan lebat, mengakibatkan Allahyarham terjatuh dan terkena tiang penghadang besi.

Jenazah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM) untuk bedah siasat, dan dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di  Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan hari ini.

Allahyarham meninggalkan isteri Nur Farrah Hanna Ibrahim, 35, dan dua anak lelaki masing-masing berusia lima tahun dan sembilan bulan.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan