BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengendali Kapal Korek Nafi Beroperasi Di Perairan Indonesia Selepas Penahanan Di Batam

14/10/2024 11:14 PM

JAKARTA, 14 Okt (Bernama) -- Dua kapal korek, termasuk satu dimiliki oleh syarikat Malaysia, yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini menafikan bahawa mereka beroperasi di perairan Indonesia, khususnya di Batam dan Kepulauan Riau di sekitarnya.

Wakil kapal itu memberitahu media yang berpangkalan di Jakarta bahawa tuduhan berkenaan tidak berasas.

Menurut sumber yang biasa dengan perkara ini, kedua-dua kapal korek itu hanya beroperasi antara Malaysia dan Singapura, mengangkut "pasir laut secara pukal".

Mereka juga menyatakan bahawa data daripada Sistem Pengenalan Automatik (AIS) menjadi bukti objektif untuk menyokong dakwaan itu, dengan memaparkan pergerakan dan corak perdagangan kapal korek tersebut secara minit ke minit, membuktikan bahawa tiada kapal yang belayar atau melalui perairan Batam pada bila-bila masa.

Sumber, yang meminta identiti dirahsiakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media, mengesahkan bahawa kedua-dua kapal memiliki semua permit dan kelulusan yang diperlukan untuk operasi mereka antara Malaysia dan Singapura.

Wakil itu menolak dakwaan bahawa mana-mana kapal itu telah mengorek pasir secara haram di perairan Indonesia, menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan rekaan.

Mereka mempunyai bukti yang kukuh untuk mempertahankan diri terhadap tuduhan itu dan yakin mereka boleh membuktikan bahawa tiada kapal yang melanggar peraturan Indonesia.

Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia baru-baru ini menahan kapal korek yang disyaki menjalankan aktiviti pengorekan haram dan pembuangan sisa di perairan Batam, Kepulauan Riau, tanpa permit dan dokumentasi yang diperlukan.

Pengarah Jeneral Pengawasan Sumber Laut dan Perikanan Pung Nugroho Saksono berkata kapal korek itu membawa 10,000 meter padu pasir, lapor saluran berita tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan