BELANJAWAN 2025 > BERITA

Banjir Di Pahang, Perak Bertambah Buruk Petang Ini

14/10/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Situasi banjir di Pahang dan Perak semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang mendadak, manakala di Kedah, Johor, dan Melaka tidak menunjukkan perubahan ketara.

Di PAHANG, bilangan mangsa di daerah Temerloh meningkat mendadak petang ini dengan 856 penduduk daripada 244 keluarga telah ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3.30 petang berbanding 98 individu daripada 25 keluarga yang berlindung di empat PPS pagi tadi.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan menempatkan 462 orang, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti 308 orang, SK Lanchang (36), Balairaya Mempateh (30) dan 20 orang di Masjid Kampung Bongsu.

Sementara itu, menurut rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Mentiga, Jambatan Chini, Pekan telah melebihi tahap bahaya manakala Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh melebihi tahap amaran dengan trend menaik.

Di PERAK, jumlah mangsa terus meningkat kepada 1,267 orang daripada 378 keluarga berbanding 625 orang daripada 188 keluarga pagi tadi di empat daerah iaitu Kerian, Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Muallim yang berlindung di 10 PPS.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan tiga PPS dibuka tengah hari tadi di Muallim yang menjadi daerah terbaharu terjejas banjir melibatkan 375 mangsa daripada 115 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kampung Batu 4, SK Kuala Slim dan SK Slim River.

Di daerah Hulu Perak, empat PPS ditutup pada pukul 2 petang. Namun, seramai 152 penduduk daripada 39 keluarga masih berlindung di PPS SK Pahit dan 51 penduduk daripada 21 keluarga di PPS SK Kerunai.

“Di daerah Kuala Kangsar, mangsa juga meningkat kepada 578 orang daripada 168 keluarga yang masih berlindung di tiga PPS iaitu SMK RLKT Lasah, SK Lasah, serta Dewan Pandak Hamid, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Sungai Siput, manakala di Kerian, mangsa kekal 111 orang daripada 35 keluarga yang berlindung di PPS Changlat Lobak dan SK Parit Haji Aman,” menurut sekretariat itu.

Di JOHOR, jumlah mangsa dari tiga daerah terjejas iaitu Kluang, Kulai dan Batu Pahat meningkat sedikit kepada 207 orang berbanding 200 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor,Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata seramai 108 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke PPS di Kluang, 83 mangsa daripada 19 keluarga di Kulai dan 16 mangsa daripada tiga keluarga di Batu Pahat.

Menurutnya empat PPS masih beroperasi iaitu di SK Seri Kampung Renggam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Layang-Layang di Kluang, Dewan Kampung Murni Jaya di Kulai serta di SK Seri Bunut di Batu Pahat.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir dari empat daerah yang terjejas menurun kepada 1,850 orang daripada 606 keluarga berbanding 2,257 orang daripada 726 keluarga pagi tadi yang ditempatkan di 17 PPS.

Menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, daerah Baling mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 914 orang daripada 329 keluarga ditempatkan di 10 PPS, diikuti Pendang (453/122) di dua PPS, Kota Setar (444/139) di empat PPS dan Pokok Sena 39 orang daripada 16 keluarga di satu PPS.

“Sementara itu, satu PPS terakhir di daerah Kubang Pasu yang dibuka pada 8 Okt lepas telah ditutup sepenuhnya pada pukul 10 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di MELAKA, mangsa banjir di Jasin menurun kepada 238 orang membabitkan 79 keluarga berbanding 275 mangsa daripada 77 keluarga tengah hari tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS di daerah tersebut iaitu SMK Dang Anum, SK Serkam Darat, SK Tedong, SK Merlimau dan SMK Dato Abdul Rahman Ya'kob.

"Kesemua mangsa merupakan penduduk yang tinggal di Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya dan dipindahkan sejak awal pagi tadi berikutan hujan lebat,” menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan