BELANJAWAN 2025 > BERITA

Anak Bongsu Lee Kuan Yew Mohon Robohkan Rumah Di 38 Oxley Road

15/10/2024 12:42 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 15 Okt (Bernama) -- Lee Hsien Yang, anak bongsu kepada Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew mengumumkan bahawa beliau akan memohon untuk merobohkan rumah di 38 Oxley Road, hampir seminggu selepas kematian kakaknya, Dr Lee Wei Ling.

“Bagi menghormati hasrat terakhir ibu bapa saya, saya akan memohon untuk merobohkan rumah di 38 Oxley Road dan seterusnya membina kediaman kecil peribadi, yang akan kekal dimiliki ahli keluarga sahaja,” kata Hsien Yang dalam hantaran Facebook pada Selasa, sambil menegaskan bahawa dirinya adalah pemilik sah tunggal rumah itu.

Wei Ling tinggal di rumah itu sehingga dia menghembuskan nafas terakhir pada 9 Okt lalu.

Rumah itu pernah menjadi kediaman Lee Kuan Yew sejak 1940-an sehingga kematiannya pada 2015, menjadi punca perbalahan antara anak sulungnya, Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan dua adiknya berhubung isu penggunaan serta perobohan rumah bersejarah itu.

Hsien Yang, 67, menyatakan bahawa beliau kini satu-satunya wasi atau pelaksana wasiat bapanya yang masih hidup selepas pemergian Wei Ling.

“Dalam wasiatnya, bapa saya ingin rumah itu dirobohkan segera selepas Wei Ling berpindah. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan hasrat itu sepenuhnya mengikut undang-undang.

“Lee Hsien Loong menyatakan di Parlimen pada 2015 bahawa selepas Wei Ling meninggal, keputusan sama ada untuk membenarkan perobohan rumah itu terpulang kepada ‘kerajaan pada masa itu’. Sembilan tahun berlalu dan hari itu telah tiba,” katanya.

Rumah itu mempunyai kepentingan sejarah kerana di ruang makan bawah tanahnya, Parti Tindakan Rakyat (PAP) ditubuhkan pada 1954 dan ia juga menjadi pejabat de facto parti itu sehingga PAP mempunyai ibu pejabatnya sendiri.

Laporan jawatankuasa menteri mengenai 38 Oxley Road pada 2018 menggariskan beberapa pilihan untuk hartanah itu termasuk mengekalkan rumah itu sebagai Monumen Kebangsaan, memelihara ruang makan dan merobohkan bahagian lain, atau membenarkan kediaman itu dirobohkan sepenuhnya dan dibangunkan semula.

Pilihan-pilihan ini bertujuan membantu kerajaan masa depan membuat keputusan yang berinformasi apabila diperlukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan