BELANJAWAN 2025 > BERITA

LHDN Gesa Lebih Banyak Syarikat Sertai Program TCG, Mantapkan Pengurusan Cukai

15/10/2024 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggesa lebih banyak syarikat yang memenuhi kriteria kelayakan, untuk menyertai Program Tax Corporate Governance (TCG) bagi memantapkan pengurusan cukai syarikat mereka.

Pengarah Seksyen Jabatan Pematuhan Cukai LHDN Norzilah Mat Arbak berkata Program TCG ialah inisiatif kerjasama pematuhan LHDN, untuk mempraktikkan proses pematuhan cukai yang adil dan berkesan melalui fokus terhadap kecekapan dan keberkesanan tadbir urus percukaian organisasi.

“Program ini adalah platform antara LHDN dan pembayar cukai, untuk bekerjasama bagi menambah baik urusan pematuhan cukai korporat organisasi berlandaskan konsep saling mempercayai, saling memahami dan komunikasi terbuka serta jujur antara kedua-dua pihak.

“Organisasi yang berminat menyertai Program TCG tidak perlu risau, kerana tiada yuran dikenakan sepanjang program ini dijalankan,” katanya semasa menjadi tetamu Klinik Cukai LHDN di Bernama Radio di sini hari ini.

Selain itu program berkenaan juga memberi fokus kepada penilaian sistem tadbir urus percukaian berkesan, antara lain bagi membolehkan organisasi mengenal pasti, merekod, mengawal risiko percukaian dan menguruskan hal cukai secara beretika serta mengikut undang-undang.

Norzilah berkata Program TCG dilaksanakan menerusi dua fasa, dengan fasa kedua bermula pada 1 Julai lepas dan terbuka kepada pembayar cukai yang memenuhi kriteria, manakala fasa pertama iaitu projek rintis berlangsung dari 1 Jun 2022 hingga 30 Jun 2024.

Beliau berkata organisasi yang menyertai program itu akan menikmati beberapa manfaat seperti mempercepatkan proses pembayaran balik cukai untuk peserta yang patuh dengan syarat dan tertakluk kepada kelulusan, selain mereka diberikan pegawai cukai khas sebagai perantara dengan LHDN.

“Organisasi juga dapat mengurangkan penelitian terhadap aktiviti pematuhan, iaitu tiada tindakan audit dan penyiasatan akan dimulakan LHDN bagi tempoh tiga tahun selepas penyertaan Program TCG disahkan, dan jika pembayar ingin membuat pengakuan sukarela, hanya semakan minima dilakukan,” katanya.

Norzilah berkata Program TCG disediakan kepada semua jenis perniagaan dengan organisasi yang digalakkan menyertainya adalah syarikat mempunyai struktur dan model perniagaan sederhana hingga kompleks serta terlibat dalam transaksi yang banyak.

“Pelabur hari ini semakin memandang serius bagaimana organisasi perniagaan menguruskan dan melaporkan cukai. Sehubungan itu, syarikat tersenarai atau Public Listed Companies (PLCs) yang berkelayakan amat digalakkan menyertai program ini,” katanya.

Norzilah berkata terdapat lima proses terlibat yang boleh mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan, dengan tempoh sah laku status lulus organisasi terlibat selama tiga tahun bagi pelaksanaan program itu.

Proses itu bermula dengan persiapan organisasi termasuk menghantar borang penyertaan kepada LHDN disusuli semakan oleh penyemak bebas yang dilantik sendiri oleh syarikat terlibat, terdiri daripada pengamal cukai bertauliah.

“Proses seterusnya ialah mengemukakan laporan penilaian semakan kendiri dan laporan penemuan oleh penyemak bebas kepada LHDN untuk dibuat penilaian dan akhirnya, selepas keputusan dibuat, organisasi itu akan menerima pensijilan status penyertaan,” katanya.

Norzilah berkata syarikat yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan program itu boleh menghubungi LHDN di tcg@hasil.gov.my.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan