BELANJAWAN 2025 > BERITA

AirAsia Berhasrat Jadikan KLIA Hab Mega Penerbangan Terkemuka Dunia

15/10/2024 07:12 PM

SEPANG, 15 Okt (Bernama) -- AirAsia menegaskan komitmennya untuk memacu kesalinghubungan ASEAN dan meningkatkan status rantau ini sebagai pusat transit global sebagaimana Dubai diiktiraf untuk perjalanan dan perdagangan udara antarabangsa.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata ia komited untuk menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan yang terulung di dunia.

Ini berikutan kelulusan yang diterima pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Capital A Bhd semalam mengenai cadangan penjualan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan penasihat AirAsia Aviation Group Tan Sri Tony Fernandes berkata keputusan EGM adalah langkah besar ke arah mewujudkan kumpulan penerbangan yang teguh dan mengubah KLIA menjadi hab mega penerbangan terkemuka di dunia.

Beliau menyatakan penghargaan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berikutan persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin, yang telah berperanan penting dalam perjalanan AirAsia untuk mengembangkan KLIA sebagai hab penerbangan bertaraf dunia.

“Dengan penggabungan perniagaan penerbangan kami dan tumpuan yang lebih kukuh terhadap perkhidmatan penerbangan, kami membuka peluang pertumbuhan besar-besaran dan memastikan ASEAN menjadi Dubai seterusnya dalam perjalanan udara global,” kata Fernandes.

KLIA disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua paling terhubung di dunia selepas London Heathrow oleh Indeks Megahubs OAG 2024, mempunyai lebih 14,500 sambungan kos rendah merentas 137 destinasi, sebahagian besarnya melalui rangkaian luas AirAsia.

OAG, platform data untuk industri pelancongan global, turut menekankan bahawa AirAsia dan AirAsia X mengendalikan 43 peratus daripada semua penerbangan di KLIA dan menyumbang 74 peratus daripada jumlah kapasiti syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) lapangan terbang itu, mengukuhkan dominasi Kuala Lumpur terhadap hab serantau seperti Singapura dan Bangkok.

Sementara itu, Ketua OAG Aviation bagi Asia, Mayur Patel berkata pelan pertumbuhan strategik AirAsia meletakkannya dalam kedudukan baik untuk menyokong peranan lapangan terbang itu sebagai hab penerbangan terkemuka dan meningkatkan ASEAN sebagai pusat transit global.

 EGM Capital A semalam menyaksikan 99.97 peratus pemegang sahamnya mengundi untuk menyokong cadangan pelupusan itu, membuka jalan kepada penstrukturan semula Capital A dan keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan