BELANJAWAN 2025 > BERITA

DBKL Pantau Banjir Kilat Menerusi Bilik Gerakan 24 Jam - Dr Zaliha

15/10/2024 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) --Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaktifkan bilik gerakan bagi memantau sebarang kejadian terutamanya banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata bilik gerakan tersebut dipantau oleh anggota bertugas melalui kamera rakaman litar tertutup (CCTV) untuk mengesan sebarang kenaikan paras air di kawasan yang telah dikenal pasti.

Menurutnya antara 24 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir di sekitar Kuala Lumpur adalah Jalan Pudu, Jalan Sultan, Bulatan Dato’ Onn, Jalan Peel, Jalan Maharajalela dan Jalan Genting Klang.

“Sekiranya kami mengesan kenaikan paras air, tindakan segera akan diambil," katanya kepada pemberita .selepas meninjau kawasan banjir di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Sementara itu, Dr Zaliha menjelaskan bahawa banjir yang melanda 24 lokasi hotspot banjir kilat di ibu negara sekitar 8.30 pagi tadi adalah disebabkan taburan hujan yang sangat tinggi mencecah 118 milimeter (mm) sejam.

 Beliau berkata mitigasi banjir pagi tadi dilaksanakan dengan pantas di kawasan tertentu termasuk pengaktifan lima pam di sekitar ibu negara serta kawalan kesesakan lalu lintas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

Mengenai banjir di UM, beliau memaklumkan bahawa tiada residen pelajar yang terlibat dan tindakan mitigasi berjaya dilaksanakan dengan cepat oleh pihak bertanggungjawab kerana universiti tersebut mempunyai sistem amaran banjir tersendiri.

Beliau berkata kenderaan yang parkir di kawasan itu berjaya dialihkan dan hanya sekitar enam buah kenderaan terjejas.

Beliau berkata selain itu, kolam takungan d) di kawasan UM yang boleh menampung sehingga 16,000 meter padu air juga perlu diselenggara.

"Jika kita dapat melakukan kerja-kerja  membuang endapan pada kolam tersebut, kapasiti tadahan airnya akan meningkat dan ini dapat mengurangkan risiko banjir apabila hujan lebat berlaku lagi," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan