BELANJAWAN 2025 > BERITA

Banjir: Mangsa Di Kedah, Melaka Berkurang, Perak Dan Pahang Bertambah

15/10/2024 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) --Situasi banjir yang melanda beberapa negeri tidak menunjukkan perubahan ketara setakat 8 malam ini dengan 4,147 orang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di KEDAH, seramai 1,285 mangsa banjir di empat daerah berlindung di 11 PPS malam ini, sedikit berkurang berbanding 1,387 orang petang tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata empat PPS masing-masing beroperasi di daerah Baling dan Kota Setar, dua di Pendang dan satu di Pokok Sena.

Di MELAKA, jumlah mangsa di Jasin menurun kepada 187 orang berbanding 229 orang pada 4 petang tadi dan semunya kini berlindung di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, SK Serkam Darat, SK Tedong dan SMK Dato Abdul Rahman Ya’kob.

Di PERAK, jumlah mangsa pula meningkat sedikit kepada 1,031 orang berbanding 1,013 orang petang tadi dengan Perak Tengah menjadi daerah terbaharu dan kelima dilanda bencana itu selepas Kerian, Kuala Kangsar, Muallim serta Hilir Perak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan PPS di Perak Tengah di Dewan Orang Ramai (DDR) Kampung Teluk Kepayang, Bota dibuka 4.30 petang tadi dan dalam proses pemindahan mangsa masih dijalankan. 

Di daerah Kerian, 104 mangsa ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai, 74 mangsa di SK Kuala Slim, Muallim dan di Kuala Kangsar seramai 766 orang di SK Lasah, SMK RLKT Lasah dan Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, Sungai Siput sementara di Hilir Perak jumlah mangsa bertambah kepada 87 orang yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di daerah Temerloh juga meningkat sedikit daripada 1,415 petang tadi kepada 1,481 malam ini dan semuanya ditempatkan di tujuh PPS.

Sementara itu, tiga sungai di Pahang dilaporkan melepasi tahap amaran iaitu Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh, Sungai Triang di Jambatan Keretapi, Bera dan Sungai Triang di Triang, Bera.

Di JOHOR, mangsa banjir di daerah Batu Pahat kekal dengan 15 orang yang berlindung di PPS SK Seri Bunut.

Di SELANGOR, sebuah PPS baharu dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Slim, menjadikan keseluruhan empat PPS beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di Hulu Selangor dan Hulu Langat. 

Seramai 46 orang masih berlindung di Balai Raya Kampung Alah Batu dan SK Sungai Serai, manakala jumlah mangsa yang berlindung di SK Kuala Slim dan Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Slim masih dalam proses bancian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan