BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerja Baiki Lubang Benam Ambil Masa Seminggu, IWK Siasat Punca Kejadian

17/10/2024 03:53 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan paip Indah Water Konsortium (IWK) yang pecah hingga menyebabkan insiden lubang benam di Lebuh Bukit Kecil 3 dekat Pantai Jerejak, Bayan Lepas di sini semalam, dijangka akan mengambil masa tujuh hari.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari memaklumkan pihak IWK telah mula memasuki kawasan tapak kejadian dan melaksanakan kerja-kerja kecemasan pada 11.30 malam tadi. 

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya menerima laporan pada 8 pagi semalam mengenai kejadian yang telah menyebabkan pembentukan lubang sebesar 10 meter dengan kedalaman tiga meter.

“Siasatan awal oleh pihak JKR mendapati terdapat tanah aktif masih terhakis dan limpahan air keluar melalui lubang berkenaan dan tindakan diambil dengan memasang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) serta menutup kawasan tersebut. 

“Hasil tinjauan oleh pihak IWK melalui rakaman kamera ke dalam paip pembentung mendapati telah berlaku pecahan pada paip itu, dan pagi ini mereka telah berada di tapak bagi mengkaji kaedah mitigasi dengan kerja-kerja pembaikan dijangka siap dalam tempoh tujuh hari,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Zairil berkata IWK juga sedang melaksanakan kerja-kerja pemantauan bagi meninjau keadaan paip-paip di sekitar kawasan insiden.

IWK berkata tindakan segera telah diambil termasuk menggerakkan pasukan pembaikan dan menyelaras tugas dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pejabat Zairil, bagi melaksanakan kerja-kerja penutupan jalan, mewujudkan penghadang keselamatan, dan mengubah hala lalu lintas untuk keselamatan awam.

“Sehingga malam tadi, kontraktor IWK telah memulakan kerja-kerja pembaikan. Pengguna jalan raya di kawsan berkenaan ketika ini dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif, kerana akses ke Taman Sri Nibong melalui Krystal Point akan ditutup buat sementara waktu,” menurut kenyataan itu.

IWK kekal komited untuk memastikan operasi sistem pembetungan berterusan yang selamat dan cekap di kawasan itu, di samping berusaha untuk menjaga kesihatan awam dan alam sekitar.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Fahmi Zainol pula berharap agar pihak IWK akan menjalankan pemeriksaan dan menyiapkan beberapa projek paip kumbahan di kawasan Pantai Jerejak kerana terdapat tiga hingga empat lokasi masih tertangguh sejak hampir lima tahun.

"Ada beberapa projek IWK di DUN Pantai Jerejak yang masih belum selesai, contohnya di hadapan pasar raya Giant dan hadapan bulatan Bayan Baru, jadi saya rasa pihak IWK perlu ambil serius sistem paip kumbahan mereka kerana mungkin ada yang dah lama dan boleh menyebabkan kebocoran di kawasan tersebut.

“Setakat ini hanya satu lokasi sahaja didapati mengalami masalah (lubang benam) tersebut dan mereka (IWK) telah teliti beberapa kawasan, belum ada kesan-kesan yang menunjukkan akan berlaku lagi kejadian itu,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan