BELANJAWAN 2025 > BERITA

Op Global: Ibu Bapa Perlu Buktikan Pertalian Darah Bagi Tuntut Anak-anak - Nancy

17/10/2024 04:15 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Ibu bapa kepada kanak-kanak yang sedang dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan Op Global perlu mengemukakan bukti pertalian darah bagi menuntut anak-anak mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini kerana pihaknya mempunyai sebab untuk meragui kesahihan pertalian darah dalam beberapa tuntutan yang dibuat. 

"Kalau betul-betul itu anak dia, biasanya ibu bapa itu mahu anak bersama dengan dengan mereka, but the thing is anak itu tidak bersama dengan ibu bapanya dan ini yang menjadi kesangsian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita pada Program Toleransi Sifar Keganasan @ Advokasi Anti Gangguan Seksual KPWKM 2024 di Universiti Tenaga Nasional, Serdang dekat sini hari ini. 

Nancy berkata sebarang pemohonan untuk memulangkan kanak-kanak terlibat kepada pangkuan keluarga juga tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tiada unsur jenayah seksual atau kecederaan fizikal serta kelulusan mahkamah. 

Tambah Nancy, setakat ini pihaknya menerima kira-kira 200 pemohonan daripada ibu bapa untuk mendapatkan semula anak-anak mereka yang kini ditempatkan di beberapa tempat-tempat selamat. 

"Saya mengharapkan mereka (kanak-kanak) dapat dikeluarkan seberapa segera … .Lagi pun perasaan ibu dengan anak … ada ibu bapa yang sedih kerana anaknya dipisahkan. Insya-Allah kita akan keluarkan kalau tiada apa-apa bantahan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan sedang ditempatkan di tempat-tempat selamat.

Menurut KPWKM, JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh Mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

KPWKM memaklumkan JKM telah terlibat dalam Op Global secara langsung bermula 11 Sept dengan seramai 884 pegawai JKM yang terdiri Pelindung, Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) dan Pegawai Psikologi terlibat dalam operasi yang meliputi serbuan ke atas 83 premis di seluruh negara.  

JKM beperanan menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak bersama pihak polis, menguruskan penempatan sementara bagi kanak-kanak, mendaftar maklumat, mendapatkan perintah jagaan sementara dan menguruskan kemasukan kanak-kanak ke tempat-tempat selamat.

"Matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat, adalah 'kembali ke pangkuan keluarga'. Namun sebelum perkara tersebut dapat dilaksanakan, pelbagai aspek perlu dinilai dan dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat," menurut KPWKM.

JKM telah mengaktifkan talian khas bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan kanak-kanak yang terkait dalam Op Global di nombor 03-8323 2190 dan 03-8323 2191.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan