BELANJAWAN 2025 > BERITA

Maxis Lancar Program Biasiswa 2024 , Tumpu Subjek STEM

17/10/2024 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 17 (Bernama) -- Maxis, syarikat telekomunikasi terkemuka Malaysia, telah melancarkan Program Biasiswa Maxis 2024 untuk memperkasa pelajar melalui sokongan kewangan komprehensif bagi membantu perjalanan akademik mereka.

Kenyataan Maxis hari ini memaklumkan bahawa program itu memfokus kepada pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menggabungkan bantuan kewangan dengan pendedahan industri bagi membolehkan pelajar mencapai aspirasi mereka.

“Program ini terbuka kepada pelajar tahun pertama sarjana muda yang sedang menjalani pengajian di Malaysia dan Singapura dengan bantuan yang meliputi yuran pengajian serta kos sara hidup selain berpeluang menjalani latihan industri dan dijamin penempatan kerja bersama Maxis selepas tamat pengajian.

“Penekanan kepada pendidikan STEM mencerminkan komitmen Maxis untuk memacu agenda digital negara. Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, Maxis berhasrat membangunkan bakat yang bersedia untuk menghadapi masa depan dan berkemahiran digital,” katanya.

Menurut Maxis, selain syarat akademik, pemohon juga akan dinilai secara holistik berdasarkan aktiviti kokurikulum, kemahiran memimpin dan kemahiran berkomunikasi mereka dalam program biasiswa yang telah membantu lebih 330 pelajar itu.

Maxis turut memaklumkan bahawa bidang pengajian yang layak untuk program itu termasuk kejuruteraan (rangkaian, telekomunikasi, perisian, mekanikal, elektrikal, elektronik), teknologi (kecerdasan buatan, pengkomputeran awan, sains komputer, keselamatan siber, sains data, teknologi maklumat, matematik, statistik atau sains aktuari dan perakaunan, kewangan atau ekonomi.

Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Transformasi dan Sumber Manusia Maxis Patrick Er berkata syarikat itu akan terus menyokong pendidikan di Malaysia melalui program biasiswa serta inisiatif berterusan lain.

“Kami percaya dalam pemerkasaan golongan muda Malaysia yang berpotensi tinggi sebagai pemimpin masa depan negara. Dengan menyediakan alat dan peluang yang sesuai, kami dapat memupuk bakat yang serba boleh yang mampu berjaya dalam ekonomi digital masa depan,” katanya.

Permohonan kini dibuka hingga 31 Okt dan pemohon mestilah warganegara Malaysia berusia antara 18 hingga 23 tahun, telah mendapat kemasukan ke institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf di Malaysia atau Singapurra dan telah mendaftar atau sedang mengikuti pengajian tahun pertama sarjana muda mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan cara memohon, layari: https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/career/maxis-scholarship-programme/.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan