BELANJAWAN 2025 > BERITA

Agensi Kerajaan Diminta Perhalusi Tinjauan Aspirasi Anak Muda - Ab Rauf

17/10/2024 08:55 PM

MELAKA, 17 Okt (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meminta jabatan, agensi dan pihak berkaitan menghalusi hasil tinjauan Aspirasi Anak Muda Melaka bagi membentuk satu dasar baharu atau inisiatif yang dapat diselarikan dengan hasrat belia di negeri itu.

Beliau berkata menerusi tinjauan dilaksanakan baru-baru ini mendapati rata-rata belia mahukan penekanan terhadap aktiviti sukan, pendidikan dan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang melibatkan golongan itu.

"Kerajaan negeri komited memberikan keutamaan dan perhatian kepada pembangunan belia dalam menyediakan pelbagai inisiatif serta program bagi melahirkan generasi belia berdaya tahan dan bersama memajukan negara.

“Kerajaan negeri juga kini lebih bersedia menjadi pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan, keluh-kesah, rintihan, pendapat serta saranan bagi memahami aspirasi serta denyut nadi belia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara 2024 peringkat negeri dan turut dihadiri Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Ab Rauf berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 398,000 daripada 1.05 juta penduduk terdiri golongan belia.

Sehubungan itu, beliau berkata golongan belia amat penting dalam merangka hala tuju dan matlamat kumpulan itu yang mencakupi pelbagai sudut seperti ekonomi, politik, sosial mahupun teknologi.

"Marilah bersama-sama pentadbiran saya terlibat secara aktif dalam proses membawa pembaharuan dan perubahan ke arah membina Melaka yang lebih lestari, makmur serta cemerlang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan