BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Cadang Pengecualian Cukai Pendapatan Bersamaan Elaun Cukai Pelaburan Bagi SLC

18/10/2024 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan bersamaan elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak dilakukan untuk tempoh lima tahun diberikan kepada syarikat “Smart Logistic Complex” (SLC).

Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan elaun ini boleh ditolak sehingga 70 peratus daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran, tertakluk kepada syarat.

“Syarikat SLC yang layak ialah “SLC Investor and Operator” yang membuat pelaburan pembinaan gudang pintar dan melaksanakan aktiviti perkhidmatan logistik yang layak.

“Atau “SLC Operator” yang menyewa gudang pintar secara pajakan jangka panjang dengan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun dan melaksanakan aktiviti perkhidmatan logistik yang layak,” menurut MOF dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

SLC adalah kemudahan pergudangan moden yang menggunakan teknologi seperti internet pelbagai benda (loT) dan kecerdasan buatan (Al) bertujuan mengautomasi pelbagai operasi pergudangan, mengurangkan kos dan meningkatkan prestasi keseluruhan rantaian bekalan.

Kementerian itu menjelaskan perkhidmatan logistik yang layak ialah pusat pengedaran serantau, perkhidmatan logistik bersepadu, penyimpanan barangan berbahaya, atau rantaian sejuk beku.

Syarat lain adalah keluasan gudang sekurang-kurangnya 30,000 meter persegi, menggunakan sekurang-kurangnya tiga elemen Revolusi Industri Keempat (IR4.0) serta syarat lain yang ditetapkan, tambah kementerian itu.

Menurut MOF tiada insentif khusus disediakan kepada syarikat yang melaksanakan aktiviti pergudangan pintar yang menerapkan elemen IR4.0 di Malaysia,

Oleh itu, cadangan tersebut bertujuan untuk terus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan melalui pengadaptasian teknologi termaju dalam aktiviti logistik yang merangkumi penggunaan automasi yang menggabungkan elemen IR4.0 seperti AI, IoT dan blockchain, jelasnya.

MOF memaklumkan tarikh kuat kuasa bagi pemohonan yang diterima oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mulai 1 Jan, 2025 sehingga 31 Dis, 2027.

Bagi syarikat “Integrated Logistic Services (ILS)”, syarikat akan diberikan galakan cukai melalui Taraf Perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 70 peratus daripada pendapatan berkanun bagi tempoh lima tahun, atau elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak dilakukan dalam tempoh lima tahun, menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan galakan cukai automasi turut disediakan bagi sektor perkhidmatan dalam bentuk elaun modal dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan bersamaan elaun cukai pelaburan kepada syarikat yang membuat pelaburan ke atas mesin dan peralatan automasi dengan elemen IR4.0.

“Perbelanjaan modal yang dibenarkan untuk dituntut galakan cukai adalah sehingga RM10 juta pertama, dan galakan cukai ini adalah bagi permohonan diterima oleh MIDA sehingga 31 Dis, 2027,” tambah MOF.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan