BELANJAWAN 2025 > BERITA

Johari Luang Masa Beramah Mesra Bersama Delegasi Malaysia Ke AIPA Laos

21/10/2024 12:25 AM

Daripada Ahmad Erwan Othman

VIENTIANE, 20 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul malam ini meluangkan masa beramah mesra bersama delegasi Malaysia ke mesyuarat Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-45 dalam satu majlis makan malam di sini.

Majlis makan malam yang bermula pada 8.30 malam (waktu tempatan) itu diadakan di kediaman Duta Besar Malaysia ke Laos Edy Irwan Mahmud.

Delegasi Parlimen Malaysia ke mesyuarat selama empat hari bermula Jumaat yang diketuai Johari itu turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bersama tiga Senator dan 11 Ahli Parlimen.

Wakil Ahli Dewan Negara ialah Datuk Seri Dr Zurainah Musa, Abun Sui Anyit dan Roderick Wong manakala Ahli Parlimen ialah Wong Chen (Subang), Datuk Awang Hashim (Pendang) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang).

Ahli Dewan Rakyat yang lain ialah Young Syefura Othman (Bentong), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Cha Kee Chin (Rasah), Azli Yusof (Shah Alam), Yusof Abd Wahab (Tanjong Manis), Rodziah Ismail (Ampang), Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani).

Ahli Parlimen dan Senator berkenaan masing-masing dipertanggungjawabkan untuk menghadiri sesi-sesi mesyuarat dua hala dan dialog yang telah direncanakan bersempena dengan Perhimpunan Agung AIPA itu.

Turut diraikan pada majlis makan malam berkenaan ialah petugas daripada beberapa kementerian dan media dari Malaysia.

Antara hidangan yang disajikan ialah sate ayam, karipap kentang, gado-gado, sotong goreng telur masin, kari ayam, rendang daging, kuih nyonya dan teh tarik yang disediakan oleh cef warga Malaysia.

Esok ialah hari kemuncak majlis penutup Mesyuarat Agung AIPA, akan menyaksikan Laos selaku Pengerusi AIPA secara simbolik menyerahkan jawatan Pengerusi AIPA kepada Johari selaku Presiden AIPA ke-46 bersempena dengan Kepengerusian AIPA dan ASEAN oleh Malaysia tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan