BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemain Industri Pelancongan Perlu Tonjolkan Identiti Negeri Sembilan - Tan

20/10/2024 07:03 PM

SEREMBAN, 20 Okt (Bernama) -- Pemain industri pelancongan perlu menonjolkan sembilan identiti Negeri Sembilan yang merangkumi adat, seni bina, makanan tradisional, busana, bunga, muzik, tarian, lagu dan permainan tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata mereka tidak boleh hanya memfokuskan kepada produk sendiri dalam usaha mempromosikan kepelbagaian dan keunikan negeri berkenaan.

“Di Kampung JKIN Extreme Park (lokasi aktiviti lasak dan sukan all-terrain vehicle (ATV) ini misalnya, pemilik tempat ini boleh menyediakan gulai kuning dan menguar-uarkannya kepada pelanggan bahawa ia adalah antara identiti Negeri Sembilan.

“Selain itu pemain industri juga boleh menyelitkan permainan gasing Negeri Sembilan dan Dam Harimau dalam pakej pelancongan mereka,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Pegawai Penyelidik Syafiq Mehaga pada program ‘Media Teghojah Nismilan’ yang disertai kira-kira 30 pengamal media di sini hari ini.

Tan berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada pemain industri di samping merapatkan hubungan mereka dengan agensi kerajaan.

Beliau berkata terdapat beberapa lokasi yang sesuai untuk dijadikan trek permotoran lasak di hutan seperti di Jelebu dan Kuala Pilah sekali gus boleh memperbanyakkan lagi lokasi pelancongan bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri itu.

Beliau berkata terdapat lebih 200 produk pelancongan menarik ditawarkan kepada pengunjung di Negeri Sembilan termasuk bangunan warisan, makanan, agropelancongan dan pelancongan sukan atau aktiviti lasak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan