BELANJAWAN 2025 > BERITA

Johari Terima Kunjungan Hormat Ketua, Wakil Delegasi AIPA

21/10/2024 12:16 AM

Daripada Ahmad Erwan Othman

VIENTIANE, 20 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini menerima dan melakukan kunjungan hormat terhadap delegasi Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-45.

Beliau turut menerima kunjungan hormat delegasi pemerhati dari Norway, Ukraine, Rusia dan Armenia di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini.

Johari yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke AIPA turut mengadakan kunjungan hormat terhadap rakan sejawatan dari Kemboja, Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary.

Dalam pertemuan itu, Johari dan Khuon Sudary yang merupakan wanita pertama memegang jawatan badan legislatif negara itu, bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan meningkatkan diplomasi dan pendigitalan parlimen serta pelaburan industri tenaga dan makanan halal.

Johari turut menerima kunjungan hormat secara berasingan daripada dua lagi rakan sejawatnya dari Brunei Pehin Datuk Abdul Rahman Taib dan dari Thailand Wan Muhamad Noor Matha serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN untuk Komuniti dan Perhubungan Korporat, Nararya S. Soeprapto. 

Pada pertemuan berkenaan, mereka mengadakan perbincangan yang menyentuh pelbagai isu kepentingan bersama antaranya keselamatan, kerjasama serantau serta menyatakan kesediaan menghulurkan kepakaran dalam menjayakan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN dan AIPA pada tahun depan.

Delegasi Parlimen Malaysia ke AIPA ke-45 turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri MohdSharkar Shamsudin bersama tiga Senator dan 11 Ahli Parlimen berserta wakil Kementerian Luar Negara, pegawai Parlimen Malaysia dan pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Laos.

Wakil Senator adalah Datuk Seri Dr Zurainah Musa, Abun Sui Anyit dan Roderick Wong manakala Ahli Parlimen adalah Wong Chen (Subang), Datuk Awang Hashim (Pendang), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), 

Turut sama, Young Syefura Othman (Bentong), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Cha Kee Chin (Rasah), Azli Yusof (Shah Alam), Yusof Abd Wahab (Tanjong Manis), Rodziah Ismail (Ampang), Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas), dan Dr Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani).

Ahli Parlimen dan Senator ini masing-masing dipertanggungjawab menghadiri sesi mesyuarat dua hala dan dialog yang telah direncanakan sempena Perhimpunan Agung AIPA itu.

Esok adalah hari kemuncak majlis penutup Mesyuarat Agung AIPA, akan menyaksikan Laos selaku Pengerusi AIPA akan secara simbolik menyerahkan jawatan Pengerusi AIPA kepada Johari selaku Presiden AIPA ke-46 sempena Kepengerusian AIPA dan ASEAN oleh Malaysia tahun depan.

Johari sebelum ini telah mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke mesyuarat Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane pada 8 hingga 10 Okt lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan