BELANJAWAN 2025 > BERITA

Suntikan RM20 Juta Dalam Belanjawan Beri Semangat Baharu Perkasa E-Sukan

20/10/2024 10:34 PM

PETALING JAYA, 20 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM20 juta menerusi Belanjawan 2025 dijangka dapat memperkasakan lagi pembangunan e-sukan secara menyeluruh termasuk menjayakan pembinaan sebuah stadium khusus untuk sukan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated Nurul Azwa Mohd Rodzi berkata stadium e-sukan sudah lama dinantikan dan pihaknya sedang dalam perancangan untuk membangunkannya pada tahun depan.

“Menerusi dana yang diperuntukkan kita dapat mewujudkan sebuah pusat e-sukan yang lengkap termasuk bilik produksi serta kemudahan penginapan untuk kem latihan.

“Suntikan yang diterima dalam belanjawan ini bukan sahaja bagi pembangunan infrastruktur, tetapi juga memfokuskan kepada pembangunan bakat melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam e-sukan seperti kerjaya pengacara, jurulatih dan marsyal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Esports League (MEL) 2024 di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf e-sukan.

Sementara itu, majlis penyampaian hadiah hari ini menyaksikan pemenang kategori Liga Utama bagi PUBG Mobile menjadi milik Az Slumber dari Perak manakala Kedah Alpha menjuarai Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Bagi saingan Free Fire pula dimenangi Twenty One dari Melaka dan eFootball24 Mobile diraih Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar dari Johor.

Juara PUBG Mobile, MLBB dan Free Fire masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi manakala pemenang eFootball24 Mobile pula menerima trofi dan wang tunai RM5,000.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan