BELANJAWAN 2025 > BERITA

SOJC : Young Tigers Kekal Positif, Teruskan Perjuangan Buru Kemenangan Pertama

21/10/2024 01:08 PM

JOHOR BAHRU, 21 Okt (Bernama) -- Meskipun tewas dalam dua perlawanan, Ketua Jurulatih I. Vikneswaran kekal positif Young Tigers akan meneruskan perjuangan memburu kemenangan pertama pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024.

Beliau berkata anak buahnya masih berpeluang untuk membuktikan kemampuan meski bakal berdepan pendahulu, India esok.

"India menang dua perlawanan berturut-turut, jadi kita kena buat perancangan dan dalam kejohanan ini apa yang saya lihat, pasukan teratas tidak semestinya akan menang semua perlawanan.

"Begitu juga pasukan di bawah, tidak semestinya akan kalah semua aksi kerana peluang sentiasa terhidang. Pemain harus belajar daripada pengalaman dan tidak boleh sambil lewa," katanya pada sidang media selepas perlawanan antara Malaysia menentang Jepun di Stadium Hoki Johor di sini malam tadi.

Beliau menyifatkan terdapat perkara positif yang boleh diambil daripada kekalahan menentang Jepun dan New Zealand terutama aspek beraksi di bawah tekanan.

"Ini peluang kita untuk berada dalam situasi tekanan sebelum Piala Dunia Remaja, ada banyak manfaat kita dapat kerana tekanan ini penting untuk kita tahu bagaimana meneruskan sesuatu perlawanan," katanya.

Vikneswaran pada masa sama berkata Young Tigers perlu bekerja keras serta memperkemaskan aspek tertentu terutama pukulan sudut penalti sekali gus bangkit daripada kekalahan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Jepun Yoshihiro Anai berpuas hati dengan kemenangan 4-1 ke atas Malaysia malam tadi dan seterusnya meraih tiga mata pertama mereka.

“Mereka bagus dalam memberi tekanan dan bermain secara kompak kerana kami menganalisis dan mengkaji bagaimana pasukan Malaysia bermain, yang memberi kami peluang untuk menang.

“Fokus kami sekarang  kepada perlawanan berikutnya menentang Australia, jadi kami perlu bersedia,” katanya.

Skuad Young Tigers yang menduduki kedudukan tercorot masih belum meraih sebarang kemenangan selepas tewas 1-4 kepada Jepun dan 2-3 kepada New Zealand sekali gus menyukarkan laluan skuad remaja negara untuk mara ke final apabila bakal berdepan juara tiga kali SOJC, India esok.

Pada Rabu, Malaysia dijadual berdepan Great Britain sementara Australia pada Jumaat dalam kejohanan bawah 21 tahun itu yang berlangsung hingga 26 Okt.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan