BELANJAWAN 2025 > BERITA

Peruntukan Dalam Belanjawan Ibarat Tonik Tambahan Untuk Atlet Pekak Negara

20/10/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM230 juta untuk pembangunan sukan termasuk bagi persiapan atlet para menjelang sukan para dunia antaranya Deaflympic Tokyo 2025 disifatkan sebagai tonik tambahan yang dapat memberikan semangat kepada atlet terus mencipta nama di persada antarabangsa.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia Ong Shin Ruenn berkata peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, Jumaat lepas turut memberikan nafas baru kepada atlet pekak negara yang kini giat mengadakan latihan menjelang temasya sukan berprestij itu pada 15 hingga 26 Nov tahun depan.

“Sasaran kita membawa pulang emas dan dengan semangat juang yang ditunjukkan atlet, tidak mustahil membolehkan kita dapat pingat. Saya juga tidak menyangka Perdana Menteri menyebut Deaflympic Tokyo 2025 dalam pembentangan belanjawan.

“Selain temasya di Tokyo, kita juga akan berhadapan Sukan SEA Orang Pekak di Indonesia serta beberapa kejohanan lagi di dalam negara serta antarabangsa,” katanya yang turut meminta agar rakyat Malaysia sama-sama dapat memberikan sokongan kepada atlet pekak negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kriket Malaysia Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali menyifatkan RM1 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan kriket, sebagai titik perubahan yang berpotensi untuk sukan itu di Malaysia.

“Ia bukan sahaja mengukuhkan usaha kami membangunkan kriket di setiap ceruk dan penjuru negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada bakat generasi baharu untuk menjadi bintang bertaraf dunia, meletakkan Malaysia di peta kriket global,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawannya berkata lebih RM230 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan sukan, merangkumi program podium, latihan dan inisiatif Road to Gold serta persiapan atlet para ke peringkat antarabangsa termasuk Deaflympic Tokyo 2025.

Bagi menyokong pembangunan bola sepak, Anwar berkata RM15 juta disediakan kepada skuad Harimau Malaya, pasukan bawah 18 dan bawah 13 tahun dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Anwar juga mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf e-sukan, manakala RM1 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan kriket.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan