BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukan Lasak Ironbound Kembali Di Lenggong November Depan

20/10/2024 07:20 PM

IPOH, 20 Okt (Bernama) -- Perak sekali lagi menjadi tumpuan pasukan elit sukan lasak apabila menganjurkan Lenggong Ironbound Expedition A1 Asia World Cup 2024 pada 22 hingga 25 Nov depan. 

Pengarah Kejohanan Shamsuri Abd Latif berkata kejohanan memasuki edisi ke-13 itu akan tampil dengan kelainan bagi menarik lebih banyak peserta dari luar negara ke negeri ini.

Beliau berkata kejohanan itu disenaraikan dalam kalendar antarabangsa A1 Nationwide (Australia) selain turut mendapat kelulusan antarabangsa daripada World Obstacle Federation - FISO (Fédération Internationale de Sports d'Obstacles) (USA). 

"Malaysia diberi pengiktirafan untuk menganjurkan siri kejohanan A1 Asia World Cup selepas penganjuran peringkat Eropah dan Oceania. Kita di siri ketiga peringkat Asia. 

"Pasukan yang memenangi secara keseluruhan 48H (48 jam) di Lenggong layak secara automatik menyertai A1 World Cup Final 2025 yang dijadualkan di Perancis pada Ogos 2025," katanya pada sidang media kejohanan itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong. 

Shamsuri Anuar berkata kejohanan itu dianjurkan Akademi Orienteering Malaysia dan merupakan kali ketiga dianjurkan di Lenggong sejak edisi ke-11 penganjuran. 

"Kejohanan sukan lasak itu menggunakan format perlumbaan berpasukan sebanyak empat peserta yang berlangsung 48 jam tanpa henti dengan lebih 30 pasukan sudah mendaftar. 

"Kejohanan ini merangkumi disiplin seperti orienteering, berbasikal bukit, berkayak, berakit, tali tinggi, penjelajahan gua, berlari denai dan merentas hutan, serta semua disiplin itu dilalui secara bernavigasi dan pemetaan," katanya. 

Beliau berkata antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Jepun, Filipina, India, United Kingdom dan tuan rumah Malaysia. 

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata sukan itu telah berjaya mengharumkan nama Perak dan Malaysia secara amnya, selain memberi impak kepada sektor sukan pelancongan selama 22 tahun. 

"Sudah pasti ia juga akan memberi impak kepada ekonomi penduduk setempat dan menaikkan nama Lenggong dalam peta dunia menerusi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa," katanya. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan