BELANJAWAN 2025 > BERITA

293,639 Orang Hilang Pekerjaan Dari 2020 Hingga 27 Sept Tahun Ini

21/10/2024 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Sebanyak 293,639 orang kehilangan pekerjaan bagi tempoh 2020 hingga 27 Sept lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi sebanyak 75,615 orang, diikuti sektor perdagangan borong dan runcit (43,614), sektor aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (23,907).

“Selain itu, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (19,931), sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (23,124 orang), sektor pembinaan (21,233 orang) dan sektor pengangkutan (20,953 orang) serta lain-lain sektor (65,262 orang),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu program latihan kemahiran dirancang oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerja tempatan dalam sektor teknologi dan industri 4.0. 

Pihak kementerian menurut beliau komited memperkukuh kebolehpasaran graduan dan pekerja, selaras dengan kehendak industri semasa.

Abdul Rahman berkata mengikut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 575,044 pencari kerja aktif telah direkodkan dari Januari hingga 27 Sept tahun ini menerusi Portal MYFutureJobs, berbanding 125,956 kekosongan jawatan yang diiklankan.

“Bagi menangani cabaran guna tenaga tidak penuh terutama bagi graduan baharu dan pekerja tempatan, pelbagai program telah diperkenalkan oleh KESUMA antaranya Program Latihan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan, Skim Latihan Bakal Pekerja (FWT) dan Kursus Berfokuskan Industri 4.0,” katanya.

Program lain ialah Program Kerjasama Strategik dan Pusat Teknologi serta Pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk pelatih kemahiran KESUMA.

Sementara itu, beliau berkata kadar kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025, tidak melibatkan graduan mahir dan separuh mahir.

Kenaikan gaji minimum itu hanya akan melibatkan pekerjaan bawahan seperti buruh, katanya bagi menjawab soalan tambahan Ling yang bertanyakan mengenai pakej insentif kepada majikan selepas keputusan kenaikan gaji minimum itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan