BELANJAWAN 2025 > BERITA

Istiadat Perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasya Bermula Esok

21/10/2024 05:32 PM

KUANTAN, 21 Okt (Bernama) -- Istiadat perkahwinan Putera Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan berlangsung selama lima hari bermula esok. 

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya TUDM berkata istiadat perkahwinan diraja itu akan bermula dengan Istiadat Meletak Kerja di pekarangan Istana Abdulaziz di sini, esok.

Beliau berkata sebanyak 16 das tembakan meriam akan dilepaskan esok dan istiadat akan dimulakan dengan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja. 

“Sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan kira-kira pukul 9.30 pagi, bacaan doa diteruskan bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja. 

“Pada pukul 6.30 petang pula, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohamed Zahari berkata pasangan pengantin diraja itu bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Khamis ini, di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada 8 malam. 

Istiadat perkahwinan diraja kemudian diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Okt dan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad ini yang akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada 8 malam.

“Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Okt 2024 di Istana Abdulaziz. 

“Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pada pukul 4 petang dengan Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin. Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan, istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram,” katanya. 

Beliau berkata bacaan doa akan disempurnakan oleh Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan dan Majlis Jamuan Teh akan bermula sebaik pasangan pengantin diraja selesai Istiadat Bersiram.

Mohamed Zahari berkata istiadat perkahwinan diraja akan diakhiri dengan Tengku Amir menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang. 

Menurutnya, tembakan meriam akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk negeri ini boleh mengikuti Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan menerusi siaran langsung ditayangkan pada dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan, Pahang dengan pelbagai acara menarik diadakan di kedua-dua lokasi tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan