BELANJAWAN 2025 > BERITA

Laporan Insiden Tanah Runtuh Taman Melawati Dibentang Pada MTES - Amirudin

24/10/2024 08:38 PM

SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Laporan penuh kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, Hulu Klang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau masih meneliti dapatan laporan berhubung punca bencana itu sebelum dibentang dan dibincangkan untuk tindakan lanjut MTES. 

“Laporan itu sudah diterima dan akan dimaklumkan kepada MTES… sekarang saya nak teliti dahulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiga khemah khas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan kejadian disahkan selamat dan penduduk terkesan serta dipindahkan sementara juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga katanya telah membina tembok penghadang yang boleh mengurangkan kesan buruk sekiranya gelongsoran tanah berlaku semula. 

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menjalankan siasatan terperinci di kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati sebelum laporan penuh berhubung kejadian dikeluarkan.

Dalam kejadian 15 Okt lepas, polis terpaksa mengarahkan penduduk di 20 rumah berhampiran berpindah dari kediaman mereka ke pusat pemindahan sementara atas faktor keselamatan susulan kejadian tanah runtuh itu. 

Mengenai sumbangan khemah PKTK, Amirudin berkata kemudahan disediakan menerusi Dana Selangor Prihatin itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan menangani bencana di negeri itu, khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut yang bakal tiba.

Beliau berkata khemah bernilai RM300,000 dan dilengkapi teknologi terkini itu akan berfungsi sebagai pusat koordinasi yang efisien dalam operasi mencari dan menyelamat, serta membantu dalam penyelarasan logistik dan komunikasi di kawasan bencana.

Khemah PKTK yang bakal dilengkapi kemudahan Internet itu akan digunakan secara bersama-sama oleh semua agensi dan pasukan keselamatan dengan hak penjagaan diamanahkan kepada IPK Selangor.

"Penyerahan khemah ini satu daripada langkah proaktif kerajaan negeri untuk memastikan agensi keselamatan mempunyai peralatan dan sumber keperluan asas mencukupi bagi menghadapi situasi bencana selaras arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan