BELANJAWAN 2025 > BERITA

Woodball: Amsyar Sirhan Impikan Berada Lima Teratas Bagi Kategori Terbuka Lelaki

24/10/2024 11:45 PM

KANGAR, 24 Okt (Bernama) -- Amsyar Sirhan Saifullah Saharuddin, juara kategori remaja dalam Kejohanan Woodball Piala Dunia 2024, bercita-cita untuk berada dalam kedudukan lima teratas kategori terbuka lelaki dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, pelajar jurusan Diploma Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis di Arau berusia 18 tahun itu berkata beliau optimis dengan sasaran tersebut berdasarkan kemahiran bermain sukan itu sejak berusia 12 tahun lagi.

Malah Amsyar Sirhan berkata beliau akan terus mempertingkatkan kemahiran permainan woodball itu dari semasa ke semasa termasuk gelaran juara remaja dunia itu turut menjadi pembakar semangat kepadanya untuk mencipta nama pada peringkat dunia menerusi bidang sukan itu.

Saya tidak menyangka dapat meraih gelaran ini...sasaran awal saya hanya untuk berada dalam lima teratas memandangkan saingan sangat sengit. Namun, saya muncul juara bagi kategori perseorangan remaja," katanya.

Dalam dua minggu sebelum pertandingan, Amsyar Sirhan memberi tumpuan penuh kepada latihan, menekankan teknik hayunan, kedudukan pukulan dan arah yang tepat.

Kejayaan Amsyar Sirhan yang juga mempertahankan gelarannya selama dua tahun berturut-turut, dikongsikan di laman Facebook Unit Sukan UiTM Perlis.

Kejohanan Woodball Piala Dunia 2024 berlangsung di Shaoxing, China, dari 14 hingga 20 Okt lalu.

Beliau berkata bahawa minat sukan woodball dalam keluarganya sangat kuat termasuk ibunya Asmawana Aziz, 40, seorang atlet woodball negeri Perlis mewakili negara pada kejohanan di China itu.

Menurutnya beliau bercita-cita untuk bertanding di Sukan SEA di Thailand tahun depan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dan UiTM atas sokongan yang diberikan dalam menghadapi kejohanan tersebut.

Sementara itu, Presiden PWNPs Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berbangga dengan pencapaian Amsyar Sirhan dan berusaha menubuhkan Akademi Woodball Remaja bagi mempromosikan sukan tersebut kepada golongan muda di Perlis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan