BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Cadang Pinda Akta Pengambilan Tanah Pertahan Aset Kerajaan, Kepentingan Awam - PM

29/10/2024 12:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan bercadang meminda Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT) [Akta 486] bagi memastikan aset kerajaan dan kepentingan awam dapat dipertahankan susulan isu pengambilan tanah Enklaf Duta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata rang undang-undang untuk pindaan akta tersebut sedang disiapkan Jabatan Peguam Negara sebelum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

"Kita lihat seperti dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara sekarang supaya undang-undang diperketatkan, kepentingan awam tidak boleh dikorbankan.

"Kalau kita berkompromi dalam hal ini, maka seluruh tanah terutama milik Melayu di bandar akan terbongkar semula," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah penyelesaian kerajaan dalam menghadapi kemelut Enklaf Duta susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (Semantan Estate). Keputusan tersebut memberikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.

Pada 23 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah itu selepas mengisytiharkan pengambilannya oleh kerajaan pada 1956 adalah tidak sah.

Menerusi alasan penghakiman setebal 12 muka surat, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata bahawa kesilapan telah berlaku dalam pengambilan tersebut, menyebabkan kerajaan telah dan masih menduduki tanah itu secara tidak sah. 

Tanah tersebut, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta, menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Anwar berkata selain memudahkan penyelesaian isu Duta Enklaf, pindaan Akta 486 juga dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan pada masa akan datang.

Beliau berkata kerajaan akan terus menggunakan saluran undang-undang selain berunding dengan Semantan Estate untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu Duta Enklaf yang berbangkit sejak 1956.

"Kita masih merayu soal keputusan mahkamah untuk pindah milik, jadi saya serah kepada Jabatan Peguam Negara dalam kes rayuan ini," katanya.

Menjawab soalan tambahan Takiyuddin mengenai cadangan kerajaan terdahulu untuk memberi pampasan berjumlah RM5 bilion tetapi tidak diterima oleh Semantan Estate walaupun nilai tanah berkenaan dianggarkan RM3.1 bilion, Anwar berkata keputusan untuk mengalah dengan mudah dalam kes itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya membuka ruang kepada isu tanah yang lain untuk dibangkitkan.

"Kita harus tegas…sekarang ini satu inci pun (tanah Enklaf Duta) tidak dibangunkan untuk swasta atau komersial, semuanya untuk bangunan kerajaan," katanya sambil menambah ia bukan sahaja membabitkan isu teknikal undang-undang tetapi soal prinsip pembangunan negara dan kepentingan awam.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga telah mengadakan mesyuarat dengan Semantan Estate dalam usaha mencari penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan.

Ini termasuk memberikan laluan kepada Semantan Estate untuk membangunkan sebahagian tanah di Enklaf Duta yang belum dibangunkan dengan syarat bekerjasama dengan mana-mana syarikat kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan