BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kuala Lumpur Bandar Raya Global 'beraspirasi' -- Kumpulan Perundingan Global Arup

29/10/2024 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai bandar raya global yang "beraspirasi" oleh City Competitiveness Redefined Tracker berdasarkan penilaiannya terhadap daya tarikan pelabur, aset dan infrastruktur, kebolehdiaman serta pengurusan dan tadbir urus bandar, kata kumpulan perundingan mampan global Arup.

Arup mempunyai himpunan 18,000 pereka, penasihat dan pakar yang bekerja di kira-kira 140 negara.

Laporan itu menilai 63 bandar berbanding 37 petunjuk kejayaan masa depan – dengan kira-kira satu perempat tertumpu pada langkah-langkah menangani iklim.

Arup dalam satu kenyataan hari ini berkata pengurusan dan tadbir urus bandar Kuala Lumpur semakin bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan peningkatan usaha penerapan elemen hijau, kecekapan tanah yang tinggi dan penambahbaikan berterusan dalam langkah-langkah menangani iklim.

Bagaimanapun, katanya, penduduk menghadapi cabaran dalam mobiliti dan kerancakan pembangunan bandar, intensiti kerja dan keterangkuman.

“Bandar-bandar di Malaysia berpeluang meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur global dengan menumpu kepada daya tahan jangka panjang terhadap kejutan iklim.

“Bandar-bandar mesti berfikir melangkaui petunjuk tradisional seperti prestasi ekonomi dan infrastruktur pengangkutan untuk terus menarik pelaburan,” kata kenyataan itu.

Ketua bahagian bandar dan penasihat Arup Malaysia Murali Ram berkata faktor utama adalah untuk terus menambah baik pengurusan bandar sambil menyokong projek yang akan meningkatkan kebolehdiaman secara serentak.

Ini termasuk hubungan pengangkutan seperti laluan transit aliran ringan (LRT) dan bas yang turut membantu pengurangan pelepasan karbon dan strategi untuk menangani keadaan iklim yang akut dan kronik.

Menurut kenyataan itu, Bank Dunia menganggarkan bilangan penduduk dunia yang terdedah kepada banjir meningkat kepada 1.8 bilion dan bilangan bandar yang terdedah kepada suhu melampau - 35 Celsius dan ke atas - akan meningkat tiga kali ganda menjelang 2050.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan