BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemilihan Laos Disebabkan Sukar Cari Lawan Lain Buat Harimau Malaya - Noor Azman

29/10/2024 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan pemilihan Laos dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier Satu menentang skuad Harimau Malaya bulan hadapan adalah kerana kesukaran mengatur perlawanan dengan 18 pasukan terbaik daripada Asia.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata keputusan dibuat badan induk sukan itu susulan kesemua pasukan telah mempunyai jadual masing-masing hingga tahun depan.

“Kita harus tahu bahawa 18 pasukan terbaik dari Asia sudah ada jadual masing-masing sehingga tahun depan iaitu menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

“Pau Marti selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana satu kumpulan dengan kita pada Piala ASEAN 2024 Disember ini,” mengikut kenyataan dikeluarkan hari ini.

Perkara sama turut berlaku pada aksi menentang New Zealand baru-baru ini bilamana Pau Marti memutuskan pasukan lawan buat Harimau Malaya bagi aksi persahabatan bulan Oktober dan November.

“Pau Marti sendiri yang ingin menentang satu kelab (Auckland FC) pada bulan Oktober. Ini kerana beliau mahu mendapatkan perlawanan menentang pasukan negara yang berada dalam ranking lebih tinggi dan kompetitif.

“Tapi tiada pasukan negara yang sesuai pada ketika itu. Pada masa sama, Pau Marti juga akan memutuskan pasukan manakah yang akan dihantar beraksi pada Piala ASEAN nanti. Perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhir beliau dalam menyediakan pasukan ke kejohanan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, persoalan pasukan manakah yang bakal menjadi lawan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier Satu terjawab selepas FAM mengesahkan skuad negara akan berdepan Laos pada 14 Nov.

Skuad negara kemudiannya akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang India pada 19 Nov ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan