BELANJAWAN 2025 > BERITA

TNB GLC Pertama Naikkan Kadar Gaji Minimum RM1,700 - Anwar

29/10/2024 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang menyahut seruan kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menzahirkan penghargaan beliau kepada pengerusi, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TNB, kerana bersetuju meluluskan kenaikan kadar gaji minimum itu kepada kakitangan syarikat berkenaan.

“Terima kasih TNB kerana sahut seruan kerajaan ini, beserta kenaikan gaji dan pendapatan kepada seluruh warga kerja syarikat ini.

“Saya tidak nilai kejayaan TNB semata-mata dari keuntungan (tetapi juga) beroperasi dengan efisyen dan jaga kebajikan anak buah, kerana sesebuah organisasi dan syarikat tidak berjaya tanpa usaha dan komitmen warga kerja di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 TNB di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2025 18 Okt, mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.

Sementara itu, Anwar berkata selain mempunyai sejarah tersendiri dalam industri elektrik negara, TNB telah memainkan peranan yang amat baik dalam memastikan Malaysia terkehadapan dalam bidang peralihan tenaga dan sentiasa bersedia melakukan anjakan sesuai peredaran zaman.

“Terima kasih pengurusan (TNB) kerana terus rangka melalui penyelidikan cari jalan dan kaedah supaya peralihan tenaga berjalan rapi dan berkesan,” katanya.

Anwar turut memaklumkan beliau akan menyempurnakan pelancaran projek tenaga terapung di Tasik Kenyir di Terengganu, hasil kerjasama TNB dan Petronas pada bulan hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan