BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jadikan Sabah Hab Pelancongan, Transit Penerbangan Rancakkan Ekonomi

29/10/2024 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran untuk menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan dan hab transit penerbangan Asia Timur terutama bagi pelancong China dalam usaha merancakkan ekonomi di negeri itu.

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) berkata ini kerana Sabah dilihat menerima bilangan kemasukan pelancong China yang agak tinggi pada tahun ini.

"Berdasarkan anggaran daripada media perdana, seramai 1.4 juta pelancong China ke negara ini setakat Julai lepas dan daripada jumlah itu, dianggarkan sebanyak 270,000 pelancong China telah melancong ke Sabah.

"Saya mencadangkan agar Kementerian Pengangkutan (MoT) menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan China ke Malaysia dan saya berpandangan begini kerana tiket penerbangan, contohnya dari Guangzhao, Taipei, Macau ke Sabah adalah lebih murah berbanding ke Kuala Lumpur, malah masa penerbangan adalah lebih singkat," katanya.

Bagi merealisasikan cadangan hab pelancongan China itu, Suhaimi berpendapat adalah wajar sekiranya MoT dapat menambah laluan penerbangan ke Sabah kepada syarikat penerbangan, terutamanya daripada syarikat penerbangan Asia Timur.

Beliau berkata keperluan hab transit penerbangan itu pula adalah selaras dengan Freedom of the Air yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Jika Sabah dijadikan sebagai hab penerbangan Asia Timur, ia akan merancakkan ekonomi negeri ini dan mewujudkan pekerjaan baharu kepada rakyat setempat, secara tidak langsung usaha Kerajaan MADANI untuk mengurangkan pengangguran dan menoktahkan kemiskinan di Sabah dapat dicapai," katanya.

Sementara itu, Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) pula menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mempromosi dan membangunkan destinasi tarikan pelancong di kawasan luar bandar di Sabah sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan Sabah merupakan negeri kedua di Malaysia yang menerima jumlah kemasukan pelancong terbanyak.

Sebagai contoh katanya, Kota Marudu adalah sebahagian daripada kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark yang memiliki pantai indah, sungai, hutan, gunung-ganang, paya bakau serta hidupan liar serta kepelbagaian budayanya yang terpelihara merupakan destinasi pelancongan luar bandar yang menarik.

"Namun, infrastrukur pelancongan di Kota Marudu khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan kemudahan awam sangat perlu diberikan perhatian," tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan