BELANJAWAN 2025 > BERITA

Deepavali: Juadah Tradisional Eratkan Silaturahim Masyarakat Berbilang Kaum

31/10/2024 01:01 PM

KUALA KRAI, 31 Okt (Bernama) -- Lebih 70 penganut hindu di Kampung Pasir Kelang di sini menyambut meriah Deepavali dengan diserikan pelbagai juadah masakan masyarakat berbilang kaum seperti muruku, ladu, ketupat dan lemang.

Penghulu Tanpa Mukim DUN Mengkebang J.Jayakumar, 44, berkata setiap tahun beliau sekeluarga akan berkumpul bersama untuk meraikan Pesta Cahaya itu selepas selesai menyempurnakan upacara keagamaan di kuil.

"Saya akan mengadakan rumah terbuka setiap tahun dengan menyediakan pelbagai juadah masakan tradisional masyarakat India, Melayu dan Cina seperti kolapam, porlake urandai, kari kambing dan rendang.

"Kita kena meraikan perayaan Deepavali ini juga bersama kaum-kaum yang lain kerana kita berada di negara yang majmuk dan harmoni sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama mereka," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya dekat Kampung Pasir Kelang di sini hari ini.

Bagi J.Jayamurugan, 46, pula kemeriahan sambutan Deepavali ini perlu dirayakan dengan penuh kesyukuran serta penghayatan selain mengenakan pakaian tradisional yang berwarna-warni ketika mengunjungi saudara-mara atau sahabat handai tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

"Bagi merasai kemeriahan perayaan ini, saya telah mula membuat persiapan lebih awal lagi untuk isteri dan anak-anak dengan membeli barangan keperluan seperti pakaian dan makanan. 

"Apabila bertemu keluarga dan rakan-rakan banyak perkara yang boleh kita kongsi sama-sama selain bertanya khabar," katanya.

Sementara itu, Nurul Asyikin Mohd Radzi, 33, berharap masyarakat mengambil peluang melakukan aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah sahabat taulan yang meraikan apa sahaja perayaan untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan