BELANJAWAN 2025 > BERITA

KBS Adakan Pascanilai Olimpik Paris 2024 Minggu Hadapan

07/11/2024 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan sesi pascanilai Sukan Olimpik Paris 2024 pada minggu depan bagi memastikan perancangan yang lebih teliti dapat dilakukan dalam menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata sesi itu akan diadakan pada Khamis bersama wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), jurulatih pasukan, sekretariat kontinjen, Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN.

“Sesi ini juga akan melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi serta wakil universiti tempatan dan persatuan media,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang mahukan penjelasan berkaitan langkah-langkah yang akan diambil kerajaan untuk menambah baik prestasi sukan kebangsaan berikutan prestasi skuad kebangsaan pada Sukan Olimpik baru-baru ini.

Hannah berkata dalam temasya sukan itu, walaupun 15 atlet layak beraksi untuk kali pertama, pencapaian yang ditunjukkan oleh atlet muda memberi harapan untuk skuad negara mengharungi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Beliau berkata buktinya atlet negara berjaya memecahkan tiga rekod kebangsaan termasuk Aniq Kasdan yang berusia 21 tahun daripada sukan angkat berat, manakala Pearly Tan dan M. Thinaah masing-masing berusia 23 dan 24 tahun, menjadi beregu wanita pertama negara yang layak ke pusingan separuh akhir, selain Lee Zii Jia memenangi pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki.

Sementara itu, mengulas mengenai keberkesanan Projek Road to Gold (RTG), Hannah berkata program itu bertanggungjawab terhadap dua kitaran Sukan Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

“Jawatankuasa RTG telah meluluskan inisiatif baharu iaitu Program RTG Fast Track untuk Olimpik Los Angeles 2028 dengan enam atlet muda berumur bawah 25 tahun daripada sukan skuasy dan akuatik terjun telah dipilih di bawah program ini.

“Jumlah ini dijangka bertambah dengan peningkatan prestasi beberapa atlet muda negara seperti Nurul Izzah Izzati Mohd Asri daripada sukan berbasikal trek dan trio memanah wanita negara Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil yang telah menduduki ranking 20 terbaik dunia,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya selain menumpukan kepada sukan yang pernah layak, MSN juga akan membangunkan sukan-sukan baharu seperti papan selaju, meluncur dan panjat tembok kerana ia dilihat mampu menjadi penyumbang pingat kepada negara nanti.

Beliau berkata selain itu, sukan-sukan yang menawarkan banyak pingat, kategori berat badan serta acara melibatkan atlet wanita juga akan diberi perhatian memandangkan peluang untuk memenangi pingat masih terbuka di persaingan Sukan Olimpik.

“Pihak Kementerian melalui MSN membelanja lebih kurang RM20.1 juta pada tahun ini (bagi RTG dan Podium) bagi tujuan kelayakan dan persiapan atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“RTG sahaja sebanyak RM13.2 juta telah dibelanjakan untuk tahun ini bagi persiapan ke Sukan Olimpik Paris. Akaun RTG sedang diaudit dan saya akan laporkan semula ke Dewan Rakyat setelah selesai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan