BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kemajuan Fizikal Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1A Capai 78 Peratus - Nanta

07/11/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Status kemajuan fizikal semasa bagi Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A mencapai 78 peratus dan dijadual siap pada suku pertama 2026.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata status kemajuan fizikal semasa bagi LPB Sabah Fasa 1B pula adalah sebanyak 2.4 peratus dengan keseluruhan fasa itu dijadualkan siap pada 2029.

“Fasa 1 dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer (km) dibahagikan kepada 35 pakej kerja di mana 16 pakej kerja di bawah Fasa 1A dan baki 19 pakej kerja di bawah Fasa 1B,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) pula, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata projek SSLR Fasa 1 yang melibatkan jajaran Lawas-persimpangan Long Lopeng mula dilaksanakan sejak Ogos 2021.

“Jajaran projek bermula di Kampung Gelugus, Lawas sehingga persimpangan Long Lopeng dengan anggaran panjang 77 km. Projek kini telah mencapai 40 peratus pelaksanaan di tapak setakat bulan Oktober 2024 dan dijangka siap pada November 2026,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 79 tempat berteduh penunggang motosikal baharu di sepanjang lebuh raya berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun ini, menjadikan keseluruhan 472 lokasi.

Dalam usaha menjayakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Nanta berkata sebanyak 30 poin pengecas kenderaan elektrik tambahan juga akan disediakan di 12 lokasi strategik di sepanjang lebuh raya menjadikan keseluruhan yang disediakan sehingga kini sebanyak 90 poin pengecas.

Katanya KKR sentiasa bekerjasama dengan pihak industri untuk meningkatkan jumlah poin pengecas kenderaan elektrik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah dan lokasi strategik sepanjang lebuh raya bagi memudahkan pengguna mengecas kenderaan dan menyokong sasaran pencapaian pengurangan penggunaan tenaga serta pelepasan gas rumah kaca menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan