BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dasar Trump Mungkin Beri Impak Ke Atas Sektor Tenaga, Eksport Malaysia - Pakar

08/11/2024 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kejayaan Donald Trump menduduki semula kerusi Presiden Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan besar akan turut memberi kesan terhadap Malaysia, khususnya bagi sektor tenaga, perdagangan, eksport, teknologi dan pembuatan.

Peniaga Kanan Ekuiti dan Derivatif firma pelaburan MooMoo Malaysia Ahmad Fidauddin berkata ini susulan dasar-dasar Trump yang dijangka cenderung terhadap sektor tenaga tradisional dan menyokong industri bahan api fosil selain peraturan yang lebih longgar.

“Bagi Malaysia, ini sejajar dengan kekuatannya dalam minyak dan gas. Ini akan turut membantu Indeks Tenaga FTSE Bursa Malaysia (FBM) yang pada masa ini mencatat 840.90 mata, di tengah-tengah jangkaan peningkatan permintaan minyak.

“Seiring jangkaan AS mengurangkan insentif tenaga boleh baharu dan memilih bahan api tradisonal, (ini menyokong) syarikat-syarikat petroleum yang berada di kedudukan baik untuk memanfaatkan peralihan itu.

“Keadaan ini berpotensi melonjakkan angka eksport apabila dasar AS lebih mengutamakan kebergantungan terhadap minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh sektor yang bergantung kepada perdagangan dan eksport, Ahmad berkata dasar perlindungan AS boleh memberi cabaran untuk ekonomi Malaysia yang dipacu eksport, khususnya bagi sektor seperti minyak sawit, elektronik dan getah.

“Indeks Perladangan FBM yang turut merangkumi syarikat-syarikat minyak sawit utama, terdedah kepada turun naik dan sebarang kenaikan tarif boleh menjejaskan daya saing di pasaran AS,” katanya.

Bagi sektor teknologi dan pembuatan, penekanan Trump terhadap pembuatan domestik di AS boleh menjejaskan rantaian bekalan global, khususnya industri semikonduktor yang menjadi antara kekuatan Malaysia dan berada di kedudukan kukuh, katanya.

“Indeks FBM Teknologi yang susut sejak beberapa bulan lepas akibat aktiviti jualan ketara di peringkat global, mendapat sentimen optimis jangka panjang daripada penganalisis. Namun ia mungkin berdepan cabaran jika dasar AS sebaliknya menggalakkan usaha penyumberan komponen di peringkat domestik.

“Syarikat-syarikat teknologi Malaysia boleh menangani kesan ini dengan memperkukuh kerjasama dalam ASEAN, terutama negara dengan pasaran pertumbuhan tinggi di Asia untuk terus meningkatkan permintaan komponen teknologi yang maju,” katanya.

Pada 11.58 pagi ini, Indeks Tenaga Bursa Malaysia menokok 0.08 mata kepada 828.06 manakala Indeks Perladangan melonjak 20.99 mata kepada 7,600.92 dan Indeks Teknologi turun 1.49 mata kepada 60.95.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan