TAIPING, 15 Nov (Bernama) -- Pelari denai nombor satu negara Daved Simpat mempunyai misi serampang dua mata apabila turun beraksi dalam kategori 100 kilometer (km) pada Malaysia Ultra Trail UTMB di sini awal pagi nanti.
Atlet berusia 42 tahun itu berkata beliau bukan sahaja mahu memenangi perlumbaan itu, malah turut menyasarkan catatan masa lebih baik berbanding yang dilakukannya sebelum ini.
Bagi Daved, ia bukan cabaran baharu buat malim Gunung Kinabalu itu yang sebelum ini pernah menjuarai Malaysia Mountain Trail Festival 2023 di lokasi dan laluan hampir sama.
“Untuk kejohanan ini, saya akan sertai kategori 100km dan sudah berlatih tiga bulan. Saya juga baru-baru ini berjaya mendapat tempat ke-8 di Asia Pacific Trail Running Championship 2024 dan johan Climbathon Mount Kinabalu Oktober lepas.
“Harapan saya dapat perbaiki masa bawah 12 jam 15 minit dan juga berada dalam keadaan baik esok untuk berlari dengan bagus,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, pelari denai wanita negara Lim Siok Har tidak meletakkan sasaran tinggi untuk kejohanan ini, sebaliknya mahu memperbaiki catatan masa yang dilakukannya tahun lepas.
“Saya tidak target apa-apa, tapi harap dapat buat yang lebih baik dari tahun lepas. Kalau boleh nak kurang satu jam berbanding tahun lepas 17 jam,” katanya.
Sementara itu pelari Denai Vietnam Hau Ha Thi yang merupakan salah seorang peserta pilihan menjuarai kategori wanita 100km teruja untuk membuat penampilan sulungnya di kejohanan itu.
“Saya sudah bersedia untuk kejohanan ini dan telah berlatih selama tiga minggu untuknya. Saya harap dapat melakukan yang terbaik esok dan mengatasi masa terbaik saya 12 jam 9 minit,” kata beliau.
Malaysia Ultra Trail UTMB yang dahulunya dikenali Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF) bakal menyaksikan penyertaan lebih 3,000 peserta daripada 60 negara.
Lebih menarik lagi, kejohanan UTMB yang pertama di Malaysia itu bakal menawarkan tiket Siri Akhir Dunia UTMB di Chamonix, Perancis pada Ogos tahun depan kepada peserta yang menamatkan saingan di kedudukan podium.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial