BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tengku Permaisuri Norashikin Berangkat Ke Festival Makanan Warisan Selangor

17/11/2024 03:46 PM

SEPANG, 17 Nov (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor yang diadakan di Pantai Bagan Lalang di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada 11 pagi disambut oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor Datuk Borhan Aman Shah, dan isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyaksikan penyampaian sijil Malaysia Book of Records (MBOR) oleh wakil MBOR Mohamad Nazrul Hafizi kepada kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) kerana telah berjaya melaksanakan Largest Participation in ‘Punten’ Eating Session (penyertaan terbanyak dalam sesi makan punten) yang telah disertai seramai 2,954 peserta.

Borhan dalam ucapannya berkata Festival Makanan Warisan Selangor merupakan acara tahunan anjuran Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Negeri Selangor yang diadakan bertujuan untuk menonjol dan mengetengahkan kepelbagaian warisan makanan di Selangor. 

"Program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepelbagaian makanan tradisi yang terdapat di Selangor serta kepentingan untuk memelihara dan menghargai budaya makanan tempatan. 

"Selain itu, program ini juga berperanan untuk menyokong pengusaha dan penggiat makanan warisan di samping menjadikan kulinari masakan tradisional sebagai salah salah satu tarikan pelancong," katanya.

Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu telah menampilkan menu utama iaitu punten yang merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa yang berasal dari kawasan Tanjung Karang, Selangor.

Makanan itu yang berbentuk seperti nasi impit diperbuat daripada santan, kelapa parut, garam dan daun pandan sebagai penambah haruman, disertakan dengan sambal ikan bilis.

Pada festival sehari itu, sebanyak 12 pavillion menghidangkan menu warisan dari sembilan daerah di Selangor dan antara masakan warisan yang disediakan ialah Lemang Kelamai, Tat Bengkulu, Bebotok, Wadai Kepeng, Balungan Hayam, Jenang Kerisik, Sate Kerang, Tapai Pulut, Bahulu Kemboja, Sate Minang, Sate Kajang, Kuih Jongkong, Bahulu Klasik, Dendeng Berlado serta Lemang Daun Lerek.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan