BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Peroleh Ilmu Berharga, Kukuhkan Hubungan Dua Hala Dengan UAE - Ahmad Zahid

19/11/2024 09:52 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 19 Nov (Bernama) -- Malaysia memperoleh ilmu berharga, di samping mengukuhkan hubungan dua hala dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan lawatan kerja tujuh hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke negara itu yang berakhir hari ini.

Beliau berkata lawatannya ke Abu Dhabi dan Dubai itu membolehkan Malaysia mempelajari komunikasi satelit L-Band untuk digunakan dalam pengurusan risiko bencana.

“Kedua, kita telah mempelajari bahawa (aliran) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dimulakan pada peringkat awal usia (di UAE) dan perkara ini mungkin boleh disesuaikan dengan sistem pendidikan di Malaysia. 

“Yang ketiga ialah mengenai produk halal yang bukan hanya sekadar pameran (MIHAS@Dubai 2024), tetapi lebih daripada itu, kesan daripada pameran ini yang telah dapat menggamit pembeli berpotensi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media yang diadakan bersempena dengan hari terakhir lawatannya ke UAE dan penganjuran MIHAS@Dubai 2024 oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang berlangsung selama tiga hari di sini dari 18-20 Nov.

MIHAS@Dubai 2024 diadakan seiring dengan Expo Produk Organik & Asli Timur Tengah, yang disokong oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Ahmad Zahid berkata tindakan susulan terhadap semua hasil lawatan itu terutama berkenaan pelan kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence untuk mewujudkan sebuah fakulti kecerdasan buatan (AI) di UniKL, akan dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan beliau terhadap MATRADE, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan lain yang bersama-sama MATRADE mempromosikan produk dan perkhidmatan halal.

“Pada Mei 2025, akan ada sidang kemuncak ASEAN dan GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan pihak MATRADE akan mengadakan pameran yang mungkin lebih besar daripada apa yang ada di Dubai ini, menggamit potensi daripada pembeli-pembeli negara GCC untuk menempah barangan dari negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan UAE sebagai antara negara penting dalam kalangan GCC kerana  negara itu menyumbang 42.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia dengan GCC.

“Pencapaian ini membuktikan peranan penting UAE sebagai rakan dagang strategik bagi Malaysia dan menyerlahkan kepentingan penganjuran MIHAS@Dubai 2024 sebagai pemangkin untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memupuk pertumbuhan bersama,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kedudukan Dubai sebagai hab perdagangan global pastinya menyediakan ekosistem perniagaan Malaysia untuk akses ke pasaran GCC dan Timur Tengah serta Afrika Utara yang lebih luas. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan