BELANJAWAN 2025 > BERITA

Putin Tandatangani Dekri Luluskan Kemas Kini Dalam Doktrin Nuklear

20/11/2024 12:19 AM

MOSCOW, 19 Nov (Bernama-Xinhua) -- Presiden Rusia, Vladimir Putin, menandatangani dekri meluluskan doktrin nuklear Rusia yang dikemas kini, lapor Xinhua memetik kenyataan Kremlin pada Selasa.

Dekri yang diterbitkan di laman sesawang Kremlin itu menyatakan bahawa tindakan pencerobohan oleh mana-mana negara dalam gabungan atau blok ketenteraan terhadap Rusia atau sekutunya dianggap sebagai pencerobohan oleh keseluruhan blok berkenaan. Selain itu, serangan dari negara bukan nuklear yang melibatkan atau mendapat sokongan kuasa nuklear akan dilihat sebagai serangan bersama terhadap Rusia.

Menurut dokumen itu, Rusia menganggap senjata nuklear sebagai "alat pencegahan... yang hanya digunakan sebagai langkah terakhir dan terpaksa," sambil menekankan bahawa negara ini sedang mengambil "segala usaha yang perlu" untuk mengurangkan ancaman nuklear serta mencegah peningkatan ketegangan antara negara yang boleh mencetuskan konflik ketenteraan, termasuk konflik nuklear.

Doktrin yang dikemas kini itu juga menjelaskan pihak negara dan pakatan ketenteraan yang menjadi sasaran kepada pencegahan nuklear. Menurut dekri itu, pencegahan nuklear disasarkan kepada musuh berpotensi, yang ditakrifkan sebagai "negara individu dan gabungan ketenteraan yang melihat Rusia sebagai musuh berpotensi" dan memiliki senjata nuklear atau keupayaan ketenteraan konvensional yang besar.

Pencegahan nuklear turut disasarkan kepada negara yang membenarkan wilayah dan sumbernya digunakan untuk tindakan pencerobohan terhadap Rusia, menurut  dekri itu lagi.

--BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan