KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan ‘Kempen Year End Zakat 2024 (YEZ)’ bagi menggalakkan umat Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan segera menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Dis ini.
Menurut PPZ-MAIWP kempen tahunan yang bermula pada 15 Nov lepas itu menyediakan pelbagai perkhidmatan dan saluran bayaran bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat di samping menikmati 100 peratus rebat cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2024.
"Bertemakan “Bahagia Memberi”, kempen YEZ tahun ini ingin mendidik masyarakat untuk saling memberi dan berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan melalui ibadah zakat di samping yakin dan percaya bahawa Allah menjanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda kepada mereka yang mengeluarkan harta ke jalan-Nya," menurut PPZ-MAIWP dalam kenyataan hari ini.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang kempen itu antaranya Karnival Year End Zakat x Pasar Saloma yang akan berlangsung selama empat hari bermula 28 Nov hingga 1 Dis ini dengan lebih 100 gerai jualan menanti pengunjung.
Hari Bersama Pembayar turut diadakan pada setiap Jumaat dan sembilan hari terakhir bulan Disember yang menyediakan jamuan dan cenderamata istimewa untuk pembayar zakat.
Selain itu, menurut PPZ-MAIWP program Berkat Niaga diadakan bagi membawa perkhidmatan pengiraan zakat ke premis-premis perniagaan sepanjang kempen manakala ‘Year End Zakat Tour’ pula membawa kaunter zakat dan wakaf bergerak ke kawasan sekitar Wilayah Persekutuan.
‘Program RM5 Rewards’ pula memberikan ganjaran RM5 kepada pembayar zakat melalui aplikasi Touch ‘n Go.
Media sosial Pusat Pungutan Zakat & Wakaf PPZ di TikTok, Facebook dan Instagram turut menyediakan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik sepanjang kempen berlangsung.
Mereka yang membuat bayaran zakat sepanjang kempen itu berpeluang memenangi lebih 1,500 hadiah menarik antaranya pakej Umrah, baucar percutian, skuter elektrik.
"Di kesempatan ini, PPZ-MAIWP ingin mengajak orang ramai agar segera tunaikan zakat tanpa menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter dan terlepas peluang untuk mendapat rebat cukai pendapatan," menurut PPZ-MAIWP.
Urusan pembayaran zakat sepanjang kempen boleh dibuat melalui pelbagai saluran iaitu Kaunter PPZ-MAIWP, portal www.zakat.com.my, Aplikasi MyZakat, Amil To You (kaunter zakat bergerak), Ride2U, Kaunter Zakat Digital, ejen kutipan zakat atau Zakat Just One Call Away.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti kempen boleh diperoleh di media sosial PPZ-MAIWP atau layari www.zakat.com.my/yez2024
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial