BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, Finland Jalin Kerjasama Pendidikan Melalui Inovasi

19/11/2024 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Finland mengambil langkah untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan, dengan penglibatan “innovator” pendidikan Malaysia, Carol Yap Yee Yee, di Sidang Kemuncak Inovasi Pendidikan HundrED 2024 yang mengetengahkan peranan negara dalam reformasi pendidikan global.

Sidang kemuncak selama tiga hari yang bermula pada 12 Nov di Helsinki itu mempamerkan inisiatif pendidikan inovatif, termasuk program transformasi Yap, “Daripada Pendidik kepada Usahawan Pendidikan” di bawah YelaoShr.

Program ini memperkasakan guru untuk menjadi usahawan pendidikan, dan telah terpilih dalam HundrED Global Collection 2025 atas keupayaannya untuk dikembangkan dan impaknya dalam mencorak semula landskap pendidikan.

Kuasa Usaha di Kedutaan Besar Malaysia di Finland Mohamed Ariff Mohamed Ali yang memuji pencapaian Yap, berkata ia selari dengan visi Finland untuk memupuk inovasi pendidikan global dan menyerlahkan keupayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Pendidikan sentiasa menjadi asas hubungan Malaysia-Finland, dan pengiktirafan YelaoShr di platform antarabangsa ini mencerminkan peranan Malaysia yang semakin meningkat dalam inovasi pendidikan.

Ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam usaha mempereratkan hubungan antara kedua-dua negara, yang memberi manfaat kepada guru, pelajar, dan ekosistem pendidikan secara meluas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi bersama Bernama, baru-baru ini.

Beliau turut berkata Malaysia dan Finland kini dalam usaha memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang Pendidikan dan Penyelidikan, bertujuan untuk memupuk pertukaran amalan terbaik dan memudah cara kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua negara.

“Perjanjian ini akan membuka peluang bagi pendidik dan penyelidik Malaysia serta Finland untuk bertukar idea dan kepakaran, yang akhirnya menyumbang kepada kemajuan pendidikan global.

Kami berharap ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai ‘innovator’ Malaysia untuk menyerlah di pentas dunia,” katanya.

Inovasi Yap bukan sahaja menangani isu ketidakstabilan kewangan dalam kalangan guru, tetapi juga menyediakan laluan kerjaya yang mampan, membolehkan mereka berkembang sebagai agen perubahan dalam komuniti masing-masing, kata Mohamed Ariff lagi.

Sidang Kemuncak HundrED, yang ditubuhkan pada 2016, berfungsi sebagai platform global untuk mengetengahkan inovasi pendidikan yang boleh dikembangkan dan memberi impak besar.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan