BELANJAWAN 2025 > BERITA

Siti Khadijah Rasmi Laman Khadijah Di Nilai, Buka Galeri Pelawat Pertama Kepada Orang Ramai

20/11/2024 10:53 PM

SEREMBAN, 20 Nov (Bernama) -- Jenama telekung tempatan terkemuka Siti Khadijah hari ini merasmikan Laman Khadijah - The Home of Siti Khadijah di Nilai dekat sini sempena sambutan ulang tahun ke-15 jenama berkenaan.

Siti Khadijah dalam kenyataan memaklumkan Galeri Pelawat pertama turut dibuka kepada orang ramai  sempena perasmian itu sekali gus memberikan penghayatan mengenai sejarah 15 tahun perjalanan jenama itu dari segi pembuatan, tradisi dan inovasi.

“Di galeri berkenaan, pengunjung berpeluang merasai pengalaman istimewa iaitu aktiviti menjahit secara sendiri yang membolehkan setiap individu terlibat secara langsung dengan elemen kesenian di sebalik telekung ikonik Siti Khadijah.

“Galeri eksklusif ini bukan sahaja mempamerkan legasi jenama Siti Khadijah, tetapi turut menawarkan telekung dan barangan edisi terhad yang hanya terdapat di Galeri Pelawat sekali gus menjadikan pelancaran itu sesuatu yang ikonik dan bermakna,” menurut kenyataan itu.

Perasmian Laman Khadijah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Enda Group Sdn Bhd Mohammad Munzir Aminuddin.

Para jemputan hari ini turut berpeluang melawat Laman Khadijah bagi menimba pengalaman secara langsung dalam jahitan sejadah muka dan menyaksikan pertunjukan fesyen koleksi Siti Khadijah, Hegira dan Anbot.

Sempena sambutan ulang tahun ke-15 itu, Festival Siti Khadijah turut diadakan di Laman Khadijah bermula 22 hingga 25 Nov ini dengan pengunjung berpeluang membeli telekung serendah RM100 bagi edisi terpilih serta tawaran eksklusif sepanjang festival berlangsung.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan, pelancaran festival ini akan dilakukan di semua butik Siti Khadijah di seluruh negara bermula 22 Nov hingga 5 Jan tahun depan. Pelanggan berpeluang menikmati diskaun hebat untuk barangan terpilih selain memenangi hadiah premium produk dengan perbelanjaan minimum RM400,” menurut kenyataan itu.

Sejajar dengan visi syarikat berkenaan, Siti Khadijah berusaha menjadi jenama antarabangsa pilihan yang mengutamakan keselesaan, praktikaliti dan kesederhanaan dalam mengetengahkan produk gaya hidup.

“Siti Khadijah adalah jenama tempatan terkemuka yang telah mempelopori pasaran khusus pembuatan telekung di Malaysia dengan lebih 56 butik tempatan, masing-masing satu di Indonesia dan Singapura,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan