BELANJAWAN 2025 > BERITA

MBI Ambil Tindakan Tingkatkan Pelancong Selatan Thailand

22/11/2024 11:51 AM

Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar

HATYAI, 22 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengambil tindakan susulan terhadap cadangan dan isu yang dibangkitkan Hatyai Municipality dan Persatuan Media Selatan Thailand dalam sesi perbincangan bagi mempromosikan industri pelancongan dua hala yang berlangsung di sini malam tadi.

Ahli Majlis MBI Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata antaranya mengenai terlalu banyak sekatan keselamatan perlu dilalui pelancong Thailand apabila tiba di Malaysia dan perkara ini akan dibawa ke perhatian pihak berkuasa agar bukan sahaja mereka boleh melancong dengan selamat, tetapi juga dalam keadaan selesa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan dan Media MBI berkata usaha berterusan juga perlu dilakukan bagi menambah baik mutu produk pelancongan yang ada, seperti tarikan kepelbagaian kaum dan budaya di Ipoh yang menjadi minat pelancong Hatyai.

“Selain makanan Thailand, mereka juga mahu merasai makanan Malaysia seperti masakan Melayu, Cina dan India. Jadi, kita perlu cari cara yang sesuai untuk pelancong,” katanya mewakili Datuk Bandar Ipoh ketika ditemui selepas Majlis Muhibah Media Perak dan Selatan Thailand Dalam Mempromosi Industri Pelancongan Dua Hala di sebuah hotel di sini.

Majlis itu merupakan sebahagian daripada program lawatan ke Hatyai dari 21 hingga 23 Nov ini yang bertujuan menjalin kerjasama, berkongsi pengalaman, pengetahuan dan membincangkan mengenai program media, penyiaran serta pelancongan khususnya di selatan Thailand.

Turut hadir Senator Wilayah Songkla merangkap Presiden Persatuan Media Selatan Thailand Chaiyong Maneerungsakul, Timbalan Datuk Bandar Hatyai Sumrit Boonrat dan Pemangku Timbalan Presiden merangkap Ketua Biro Perhubungan Luar Persatuan Media Selatan Thailand Twaedaniya Meringin.

Sementara itu Muhammad Hamzah berkata media yang menyertai lawatan ini dapat berkongsi idea bagi memantapkan industri pelancongan selain mengukuhkan jalinan kerjasama dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua bandar raya itu. 

Chaiyong pula berkata perbincangan dua hala antara pihak di kedua-dua negara amat penting, bagi mengetahui kehendak pelancong, khususnya penduduk negeri dan wilayah di sempadan yang berkongsi banyak persamaan.

"Dalam sesi ini kami bangkitkan soal penguatkuasaan undang-undang yang ketat di Malaysia, dari satu sudut ia membuatkan pelancong Thailand berasa selamat, tetapi jangan sampai menimbulkan rasa tidak selesa pula,” katanya

Sementara itu Sumrit pula berkata pihak berkuasa wilayah itu telah mengenal pasti minat pelancong Malaysia bagi menarik kunjungan mereka ke Hatyai, dan perkara sama boleh dilakukan Malaysia yang mempunyai banyak kelebihan, terutama dari segi masyarakat pelbagai kaum.

"Rakyat Thailand cukup berminat merasai makanan Malaysia yang unik kerana mempunyai pengaruh sajian pelbagai kaum, begitu juga lokasi tumpuan pelancongan yang memenuhi kehendak pelawat beragama Islam mahupun yang bukan Islam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan