BELANJAWAN 2025 > BERITA

Guru Perlu Didik Pelajar Tentang Kehidupan, Bantu Kembangkan Potensi Pelajar - Tuanku Zara

23/11/2024 12:00 PM

TANJONG MALIM, 23 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bertitah guru yang bijaksana akan memahami dan mengambil tanggungjawab untuk mendidik tentang realiti kehidupan selain membantu mengembangkan potensi sebenar dimiliki pelajar.

Tuanku Zara bertitah kehidupan sebenar bukan cerita dongeng atau khayalan sebaliknya mengandungi pelbagai kisah suka duka yang perlu dilalui dengan penuh yakin dan berani.

“Guru yang bijaksana ialah guru yang berjaya mengajar anak didiknya lebih daripada ‘tulis, baca dan kira’, tetapi berjaya mendidik anak didiknya tentang kehidupan, mentafsirkan erti kehidupan, realiti yang harus dilalui dengan penuh yakin dan berani.

“Kehidupan sebenar mengandungi kisah duka di samping suka, kegagalan di samping kejayaan, kekurangan di samping kelebihan, kelemahan di samping kekuatan,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-26 di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Pada konvokesyen kali ini seramai 7,172 orang graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda, diploma serta diploma pendidikan lepasan ijazah.

Baginda bertitah profesion sebagai guru juga perlu menerima realiti perbezaan daya dan upaya anak didik, lantas secara bijaksana menyemaikan rasa yakin dalam diri mereka untuk menjadi warga yang berguna mengikut bakat dan kecenderungan masing-masing.

“Oleh itu, seorang guru yang bijaksana, demikian juga ibu bapa yang peka, berupaya menerima dan mengakui hakikat bahawa insan dicipta oleh Ilahi dengan pelbagai rupa, kebolehan, kekuatan dan kecerdasan,” titah baginda.

Raja Permaisuri Perak bertitah kejayaan para graduan memperoleh ijazah dan diploma dalam bidang perguruan pada hari ini, lahir daripada pengorbanan ahli keluarga terutama ibu bapa serta barisan tenaga pengajar yang penuh tekun dan sabar dalam membimbing mereka.

“Kejayaan memperoleh ijazah adalah hasil daripada semangat, kesungguhan, kegigihan, ketabahan dan kerajinan menyelami lautan ilmu; dipermudahkan pencapaian melalui bimbingan barisan tenaga pengajar yang tekun dan sabar, ikhlas dan bersungguh mendidik, mengajar, mengasuh dan membimbing.

“Pada masa yang sama, ahli keluarga terutama ibu dan bapa berperanan penting bermula daripada membesar dan mendidik, membiayai pengajian dan tanpa putus mendoakan kejayaan para graduan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Zara menzahirkan ucapan tahniah atas pelbagai pencapaian UPSI sepanjang tahun ini terutama melibatkan projek pembangunan dan adaptasi teknologi yang berjaya mengharumkan nama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut di dalam dan luar negara.

“Semoga kejayaan yang telah dicipta menjadi penyuntik semangat mendorong warga UPSI mencipta kejayaan yang lebih gemilang,” titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan