BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi, Kemudiannya Rendah

28/11/2024 10:59 AM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis sebelum bertukar rendah berikutan kekurangan pemangkin ketika Wall Street mencatat prestasi lemah di tengah-tengah data inflasi yang tinggi dan perdagangan yang lebih perlahan menjelang cuti Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.73 mata kepada 1,602.25 daripada 1,604.25 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.07 mata lebih tinggi kepada 1,606.32.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 251 berbanding 143 manakala 281 kaunter kekal tidak berubah, 1,794 tidak diniagakan dan 89 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 222.49 juta unit bernilai RM147.84 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, sentimen kekal berwaspada berikutan peringatan mengenai tarif yang akan dilaksanakan kelak oleh presiden dilantik AS, Donald Trump selain pengumuman indeks perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS terkini pada Oktober adalah seperti dijangka.

PCE teras AS meningkat sedikit kepada 2.8 peratus pada Oktober dan mungkin memberi kesan terhadap keputusan penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) yang seterusnya berikutan inflasi kekal tinggi.

Meskipun terdapat kebimbangan, beliau berkata peningkatan ketara yang dijangkakan daripada saham-saham mewah dapat membantu FBM KLCI tempatan untuk kekal melepasi paras 1,600.

Secara keseluruhan, beliau menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,600-1,610 hari ini.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd mengunjurkan peluang perdagangan akan berterusan dalam sektor utiliti berikutan momentum optimis saham berkaitan YTL.

“Peningkatan prestasi yang dicatatkan beberapa syarikat teknologi mungkin menambah sentimen bagi saham berkaitan semikonduktor,” kata syarikat  itu.

Menurutnya sektor penerbangan, hospitaliti, dan pengguna turut dijangka kekal positif berikutan pendapatan lebih kukuh baru-baru ini daripada lapangan terbang dan musim percutian serta perayaan yang akan datang.

Saham wajaran tinggi Maybank, CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM10.18, RM8.37 dan RM13.98.

Public Bank susut satu sen kepada RM4.43 dan IHH berkurangan dua sen kepada RM7.23.

Antara saham aktif, Nationgate susut 27 sen kepada RM2.08, Notion Vtec naik satu sen kepada RM1.21, Genetec Technology rendah dua sen kepada RM1.15, SMTrack menokok setengah sen kepada 2.0 sen, dan Ekovest rendah satu sen kepada 35 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 14.92 mata kepada 12,176.05, Indeks FBMT 100 berkurangan 12.99 mata kepada 11,874.56, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 8.52 mata kepada 112,874.56, Indeks FBM 70 berkurangan 20.24 mata kepada 17,898.67, dan Indeks FBM ACE susut 16.57 mata kepada 5,162.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 36.98 mata kepada 19,199.86, Indeks Perladangan susut 15.38 mata kepada 7,465.92, Indeks Tenaga berkurangan 0.79 mata kepada 817.90 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.63 mata kepada 171.06.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan