BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2025: Pahang Sasar Kutipan Hasil RM1.194 Bilion

29/11/2024 04:45 PM

KUANTAN, 29 Nov (Bernama) -- Pahang menyasarkan kutipan hasil kerajaan negeri mencecah RM1.194 bilion tahun depan iaitu peningkatan lima peratus berbanding belanjawan tahun lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.182 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset.

Menjelaskan lebih lanjut, Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ berkata peruntukan RM1.182 bilion itu adalah peningkatan RM57 juta atau 5.05 peratus berbanding tahun lepas, dengan lebihan RM12 juta. 

“Bagi tujuan perbelanjaan pembangunan pula peruntukan yang akan disediakan RM399.64 juta. Sebagai sebuah kerajaan yang berteraskan kepentingan rakyat, belanjawan kali ini dibentangkan dengan iltizam yang tinggi untuk memastikan setiap aspek kemakmuran negeri dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Penyediaan belanjawan ini bukan sekadar pelan perbelanjaan tetapi sebagai manifestasi kepada harapan rakyat yang menginginkan perubahan dan pembangunan yang lebih mampan serta inklusif,” katanya di Wisma Sri Pahang hari ini. 

Mencakupi pelbagai aspek, beliau berkata Belanjawan 2025 memberi penekanan terhadap keterjaminan makanan apabila kerajaan negeri komited meningkatkan lagi sumbangan dan pengeluaran sektor pertanian dengan peruntukan RM36.78 juta, penternakan (RM24.41 juta) dan RM500,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri. 

“Bagi tujuan merancakkan lagi sektor pertanian dan industri asas tani, kerajaan negeri akan menganjurkan Program Mini MAHA (Pertanian, Hortikultur, dan Agropelancongan Malaysia) Pahang dengan peruntukan RM2 juta,” katanya. 

Berkenaan mengurangi impak banjir, Wan Rosdy berkata sebanyak RM19.89 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program, inisiatif serta projek yang berkaitan seperti rancangan tebatan banjir, projek kawalan hakisan pantai dan membaik pulih muara sungai serta sistem saliran bandar.

Bagi aspek pendidikan, beliau berkata antara insentif dan bantuan yang akan dilaksanakan adalah pelaksanaan tiga program pembangunan Orang Asli iaitu Program Baca Cepat Kawanku (BCK), Program Pendidikan Murid Asli (PEDULI) dan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) dengan peruntukan RM2.4 juta.

“(Selain itu) Untuk menarik lebih ramai anak Pahang mengikuti pembelajaran di tadika tahfiz, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM2.52 juta bagi membiayai yuran pendidikan untuk membantu murid daripada golongan B40.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM3 juta bagi menyambung langganan jalur lebar satelit di kawasan yang mempunyai masalah capaian Internet menerusi program PRISMA 4.0 bagi membolehkan rakyat di luar bandar menikmati capaian Internet bagi tujuan pembelajaran dan kemahiran digital,” katanya. 

Dalam menangani isu pengangguran, Wan Rosdy berkata sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 untuk Program Jaminan Kerjaya selain RM4.5 juta kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang bagi menaik taraf kemudahan Pusat Kecemerlangan untuk latihan serta implementasi pendigitalan.

Bagi pembangunan masyarakat Orang Asli, beliau berkata beberapa inisiatif diteruskan antaranya, pelaksanaan projek baik pulih rumah dan projek pembekalan air ke kampung Orang Asli dengan jumlah peruntukan RM2.03 juta.

Beliau berkata peruntukan RM800 ribu juga diberikan untuk naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan sukan Majlis Sukan Pahang selain RM3 juta bagi pembinaan Kompleks Sukan Benta dan RM1.65 juta bagi meneruskan beberapa inisiatif dan program seperti Sambutan Hari Belia Negara dan Hari Sukan Negara.

Pada tahun hadapan, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan meneruskan program membantu rakyat sedia ada seperti pemberian Biasiswa Pahang Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dengan peruntukan RM23.9 juta dan RM50.54 juta untuk Inisiatif Makmur Pahang yang sebelum ini dikenali Bantuan Prihatin Pahang dan Program Pahang Makmur. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan