BELANJAWAN 2025 > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Seluruh Negara Berkurang Kepada 138,052 Pagi Ini

02/12/2024 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu mencatatkan penurunan sedikit, menjadikan jumlah mangsa terjejas di sembilan negeri seramai 138,052 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 140,896 orang malam tadi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus mencatat penurunan kepada 85,778 orang membabitkan 26,781 keluarga pagi ini, berbanding 88,742 orang melibatkan 27,661 keluarga malam tadi, dan kesemua mangsa ditempatkan di 251 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menerusi Portal Info Bencana JKM, jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 29,361 orang, diikuti Tumpat (18,791), Kota Bharu (7,659), Pasir Puteh (10,743) dan Kuala Krai (5,392), Bachok dengan 6,099 mangsa, Machang (5,016), Tanah Merah (2,636) dan Jeli (81).

Di TERENGGANU, mangsa banjir Terengganu berkurang kepada 39,865 orang daripada 10,703 keluarga pagi ini, berbanding 40,604 orang daripada 10,932 keluarga malam tadi. 

Berdasarkan data terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) setakat 8 pagi ini, bilangan PPS yang aktif berkurang daripada 283 kepada 271, melibatkan lapan daerah yang terjejas. 

Pengurangan jumlah mangsa banjir pagi ini melibatkan daerah Besut yang masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi selain Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu. Sementara itu, berlaku peningkatan jumlah mangsa di PPS di daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kuala Nerus. 

Di NEGERI SEMBILAN, menurut laman sesawang Info Bencana JKM, mangsa banjir semakin menurun dengan melibatkan 1,139 individu daripada 297 keluarga yang kini ditempatkan di lapan PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin dan Jempol, setakat 8 pagi ini.

Terdapat lima PPS di Tampin, dua PPS (Jempol) dan satu di Kuala Pilah dengan keseluruhan mangsa terdiri daripada 780 dewasa, kanak-kanak (344) dan bayi (15).

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 68 orang setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 69 orang malam tadi. Menurut Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud kesemua mereka kini berada di PPS SK Arau di Arau.

Bagaimanapun, di PERAK, Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di lima daerah merekodkan peningkatan mendadak pagi ini, iaitu seramai 590 orang membabitkan 177 keluarga berbanding 130 mangsa daripada 36 keluarga malam tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di sembilan PPS, dengan daerah Kinta mencatatkan seramai 430 mangsa daripada 125 keluarga yang berlindung di enam PPS, diikuti Kampar (61), Hilir Perak (52) manakala di  Larut, Matang dan Selama melibatkan 47 mangsa.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 803 orang daripada 226 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 728 orang malam tadi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa yang terjejas akibat bencana itu ditempatkan di 17 PPS di daerah Segamat. 

"PPS yang masih beroperasi adalah Balai Raya Kampung Bukit Tunggal, Balai Raya Kampung Jabi, Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Komuniti Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Awat, Balai Islam Kampung Gubah, Balai Raya Kampung Pudu, Kampung Pogoh Tengah dan Balai Raya Kampung Padang Kiambang. 

"Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Spang Loi, Balai Raya Kampung Kuala Paya, Balai Raya Kampung Sanglang, Dewan Kampung Tandong, Dewan Serbaguna Kampung Balai Badang, Surau Lubok Lanjut, Kampung Orang Asli Puting dan Sekolah Agama Buloh Kasap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 8,051 orang daripada 2,449 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 7,954 orang daripada 2,398 keluarga, malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari enam daerah tersebut ditempatkan di 49 PPS.

“Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi seramai 3,858 mangsa daripada 1,158 keluarga; diikuti Kubang Pasu (2,431 orang daripada 764 keluarga); Sik (695 orang daripada 211 keluarga); Pokok Sena (596 orang daripada 178 keluarga); Padang Terap (441 orang daripada 127 keluarga) dan Baling (30 orang daripada 11 keluarga)," katanya.

Di PAHANG, jumlah mangsa yang terjejas terus meningkat kepada 1,517 orang membabitkan 502 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 1,230 orang malam tadi, dengan daerah yang terjejas banjir kekal tiga iaitu Raub, Jerantut dan Lipis

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 26 PPS dibuka di seluruh negeri itu, dengan Raub masih kekal mencatatkan angka tertinggi mangsa iaitu seramai 1,373 orang, diikuti Jerantut (105) dan Lipis merekodkan 39 mangsa daripada empat keluarga. 

Di MELAKA, Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah mangsa ditempatkan di PPS kekal 241 orang daripada 58 keluarga setakat 8 pagi ini,dan kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS masing-masing satu di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah manakala dua di Jasin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan