KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- AEON Co (M) Bhd melancarkan Program Pembekal #AEONResponsible untuk membantu pembekal meningkatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka melalui sumber, pembinaan kapasiti dan insentif kewangan.
Inisiatif itu diumumkan oleh AEON melalui kerjasama dengan Bursa Malaysia Bhd dan CIMB, yang diwakili oleh CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd.
Dalam satu kenyataan hari ini, AEON berkata program itu memanfaatkan platform penyelesaian Kecerdasan Kelestarian Berpusat (CSI), yang dibangunkan oleh Bursa Malaysia dan London Stock Exchange Group.
Platform ini membantu syarikat-syarikat Malaysia dengan pendedahan ESG melalui penyediaan alat untuk menilai pelepasan karbon dan memudahkan pelaporan kemampanan.
Melalui perkongsiannya dengan CIMB, pembekal AEON juga akan mendapat akses kepada tawaran kewangan mampan CIMB bagi menyokong penggunaan teknologi hijau, penggunaan amalan perniagaan mampan dan peralihan kepada operasi rendah karbon.
"Ini termasuklah Pembiayaan Berkaitan Kemampanan CIMB untuk perusahaan kecil dan sederhana, dengan peruntukan RM3 bilion hingga 2030. Pembekal AEON boleh mendapat manfaat daripada pembiayaan itu dengan rebat sehingga 0.50 peratus setahun apabila mencapai sasaran prestasi kemampanan yang telah dipersetujui sebelumnya,” katanya.
Pengarah Urusan AEON Naoya Okada berkata program itu bertujuan memperkasakan pembekal dengan melengkapkan mereka peralatan dan sumber penting dalam mengukuhkan amalan ESG, termasuk bengkel-bengkel latihan, penilaian ESG bagi mengenal pasti bidang yang perlu diperbaiki dan sokongan kewangan untuk membolehkan perubahan yang mampan.
Beliau berkata AEON juga sedang membangunkan kad skor ESG untuk menjejaki kemajuan pembekal dalam menerima pakai amalan mampan, menyediakan rangka kerja untuk menilai kelayakan mereka bagi peluang pengembangan perniagaan berdasarkan komitmen mereka terhadap kemampanan.
"Program ini mencerminkan komitmen AEON untuk memacu perubahan bermakna semasa kami memperingati ulang tahun ke-40 di Malaysia. Ia sejajar dengan matlamat kami untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2040. Bersama-sama pembekal kami, kami berusaha untuk memacu ekonomi rendah karbon yang mencipta nilai berkekalan bagi semua pihak berkepentingan," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial