KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Dugaan zaman belajar di universiti bagi setiap pelajar berbeza-beza, tidak terkecuali buat Muhammad Afig Iskandar Adrel, 24, yang pernah melakukan lebih lima jenis kerja sambilan demi mencari wang tambahan bagi menyara diri sepanjang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-48, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) itu berkata selain menjual burger dia pernah menjadi penghantar makanan, peniaga nasi ayam, pekerja bankuet hotel, berkerja sambilan di Secret Recipe dan Boost Juice.
“Keluarga saya berpendapatan sederhana, bapa bekerja sebagai pemandu lori manakala ibu pembantu gerai makan.
“Jadi, saya sudah terbiasa beradaptasi dengan kesusahan dan berdikari untuk mencari wang sendiri hingga berjaya membuka gerai perniagaan meskipun masih belajar,” katanya berkongsi pengalaman sukar dilalui ketika bergelar mahasiswa.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata menerusi bantuan pihak Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, dia berjaya membuka gerai burger yang membantunya meraih pendapatan.
Pada masa sama, Muhammad Afig berkata usaha itu memberi peluang untuk dia membantu pelajar lain yang senasib dengannya menjana pendapatan sampingan.
“Saya tidak pernah meminta duit daripada keluarga kerana tidak mahu membebankan mereka sebaliknya mengambil inisiatif sendiri mencari wang bagi menampung perbelanjaan sepanjang pengajian di UPM,” katanya.
Muhammad Afig berkata pengalaman itu membuatnya sedar bukan senang untuk menjadi senang dan tidak susah untuk menjadi susah, justeru dia perlu bangkit demi mengubah masa depan keluarga dan diri sendiri.
“Ada kalanya saya rasa ingin mengalah namun saya kuatkan tekad dengan membayangkan wajah emak dan ayah. Dengan mengingatkan wajah mereka segala penat lelah tiada makna pada saya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial